Pengeluaran getah asli meningkat sembilan peratus
PUTRAJAYA - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat sembilan peratus pada Februari 2021 kepada 49,840 tan metrik berbanding 45,735 tan metrik pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan penurunan 0.1 peratus.
“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,632 tan metrik pada Februari 2021 meningkat sebanyak 13.5 peratus berbanding 48,125 tan metrik pada Januari 2021.
“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli menyumbang 40.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2021 diikuti Belgium (12.6 peratus), Jerman (8.4 peratus), Finland (3.9 peratus) dan Amerika Syarikat (2.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Uzir berkata, sarung tangan getah dikenal pasti sebagai item eksport utama dengan nilai eksport RM5.8 bilion pada Februari 2021 meningkat sebanyak 3.9 peratus berbanding Januari 2021 (RM5.6 bilion).
Katanya, Amerika Syarikat mendahului sebagai negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan China.
“Stok getah asli meningkat pada Februari 2021 kepada 286,117 tan metrik berbanding 280,841 tan metrik pada Januari 2021 dengan peningkatan 1.9 peratus.
“Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 587.91 sen sekilogram berbanding Januari 2021 (550.26 sen sekilogram).
“Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan peningkatan kepada 672.68 sen sekilogram berbanding 628.58 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.
Tambah beliau, laporan juga menunjukkan penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Februari 2021 ialah 44,697 tan metrik, menurun sebanyak 5.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Penggunaan getah asli dalam industri pembuatan sarung tangan getah terus mendahului dengan penggunaan sebanyak 34,764 tan metrik atau 77.8 peratus daripada jumlah penggunaan domestik pada Februari 2021,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka dan dalam talian (e-Census) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021.
Semua penduduk Malaysia diharapkan dapat memberikan kerjasama bagi memastikan tiada data yang ketinggalan demi masa depan negara.
Keterangan lanjut boleh layari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!