653,531 individu lengkapkan dua dos vaksin
KUALA LUMPUR - Sebanyak 653,531 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat Rabu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 425,164 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 1,078,659.
Menerusi satu infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya pada Khamis, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 90,267 diikuti Kuala Lumpur (67,671), Sarawak (67,300), Johor (59,842) dan Sabah (55,349).
Lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor melibatkan 59,657 individu, Perak (47,098), Sabah (42,649), Kuala Lumpur (36,648) dan Pahang (32,852).
Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Rabu adalah sebanyak 8,760,857 atau 36.10 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi membabitkan 2,319,791 pendaftaran.
Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara adalah 1.14 setakat Rabu.
Berdasarkan infografik dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Terengganu mencatat Rt tertinggi iaitu 1.30 manakala Pulau Pinang merekodkan Rt terendah dengan 0.89. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!