'Masih ada rezeki saya'

Kesan potong pada pagar dawai kandang lembu Hanafi.
Kesan potong pada pagar dawai kandang lembu Hanafi.
A
A
A

BESUT - “Selepas sedar lembu hilang, saya fikir akan jumpa kepalanya saja. Saya anggap ini ujian Ramadan,” kata Hanafi Razif, 27, penternak yang kehilangan dua ekor lembu bernilai kira-kira RM20,000.

Bagaimanapun kata Hanafi, dia tidak menyangka lembu jantan dan betina yang dicuri penjenayah di Kampung Gong Kepas, di sini pada Rabu itu ditemui semula selepas lebih 12 jam.

Menceritakan semula kejadian itu, Hanafi berkata, menjadi rutinnya ke kandang lembu yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah sekitar jam 10 pagi untuk memberi makan kepada 10 ekor lembu ternakannya.

“Apabila sampai di kandang saya lihat pagar runtuh dan terbalik manakala dua ekor lembu tiada. Saya fikir lembu itu keluar daripada kandang dan apabila diperiksa ada kesan pagar dawai dipotong. Jadi saya yakin lembu itu dicuri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Lembu milik Hanafi yang dicuri dari kandang di Kampung Gong Kepas, di sini pada Rabu.
Lembu milik Hanafi yang dicuri dari kandang di Kampung Gong Kepas, di sini pada Rabu.

Dia kemudian membuat laporan kepada polis dan menularkan berita dan gambar kehilangan lembu dalam laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp memohon bantuan orang ramai bagi mengesan haiwan tersebut.

Menurut Hanafi, usaha itu sebagai ikhtiar namun dia tidak begitu berharap dan bimbang lembu itu sudah dilapah pencuri.

“Bulan puasa jualan daging segar memang laris, jadi saya syak daging lembu dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran tetapi sudah tertulis rezeki saya masih ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemuda yang mula menternak lembu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu ini berkata, dia terkejut dan gembira apabila orang kampung memaklumkan ada ternampak dua ekor lembu seakan sama dengan lembu miliknya di Jerteh.

Lembu milik Hanafi yang hilang dicuri pada hari kedua Ramadan.
Lembu milik Hanafi yang hilang dicuri pada hari kedua Ramadan.

Kata Hanafi, dia bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya pada jam 9 malam tadi untuk memeriksa kesahihan berita itu dan ternyata dua ekor lembu diikat pada sebatang pokok itu miliknya.

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT. Berkat bulan mulia, doa dan solat hajat lembu saya berjaya ditemui semula. Selepas ini saya akan membina kandang lebih kukuh dan membela anjing sebagai penjaga bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!