Suri rumah warga Rusia maut terjatuh pangsapuri

jatuh
jatuh
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita warga Rusia maut selepas terjatuh dari tingkat 25 Coastal Tower Condo, Persiaran Tanjung Bungah di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditemui rakannya di tangga tingkat 9 pangsapuri berkenaan kira-kira jam 6.40 pagi.

Menurutnya, pangsapuri itu adalah kediaman rakan mangsa yang merupakan warga Libya dan juga pelajar Universiti Sains Malaysia di sini.

"Ketika tiba di tempat kejadian, polis mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di atas tangga di tingkat 9 pangsapuri tersebut

"Keadaan tubuhnya didapati terkulai pada kedua-dua belah kaki dan tangan serta mukanya pecah.

"Mangsa yang dikenali sebagai Katya sudah berkahwin dan merupakan suri rumah tinggal di sebuah pangsapuri di Persiaran Gurney," katanya menerusi kenyataan medianya tadi.

Tambahnya, dari keterangan rakannya, mangsa datang ke rumahnya pada jam 5 pagi untuk berbual.

"Ketika itu, mangsa memberitahu dia mengalami masalah dengan suaminya yang juga warga Rusia berusia 60 tahun. Selepas berbual, rakannya yang berusia 33 tahun itu ingin menghantar mangsa pulang namun dia enggan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas puas memujuk, rakannya terus ke bilik mandi untuk mandi. Selepas membersihkan diri, dia mendapati mangsa tiada. Selepas pemeriksaan, dia mendapati mangsa berada di bawah blok dalam keadaan tertiarap dipercayai terjatuh," katanya.

Che Zaimani berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) yang tiba di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat. Suami mangsa belum dapat dikesan dan polis akan mendapatkan maklumat mengenai suaminya secepat mungkin.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!