Polis Selangor perketat kebenaran rentas negeri
KLANG - Polis Selangor akan memperketatkan serta memberi lebih penelitian terhadap borang kebenaran rentas negeri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Bukit Aman sudah mengarahkan supaya meneliti terhadap semua permohonan rentas negeri.
"Kita akan memberi kebenaran rentas negeri kepada mereka yang ada kaitan dengan pekerjaan, pendidikan, kecemasan, sakit serta kematian.
"Kita mungkin akan menambah sekatan jalan raya sekiranya perlu terutama pada hari minggu kerana kita mengesan banyak pergerakan dilakukan dalam tempoh itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan berasingan, Arjunaidi memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan.
"Berdasarkan pemerhatian pada dua hari Ramadan, kita mendapati banyak berlaku pelanggaran SOP terutama membabitkan penjarakan sosial," katanya.
Menurutnya, ketua polis daerah sudah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua individu yang melanggar SOP.
"Kita berharap masyarakat mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerana kita tidak mahu timbul kluster baharu," katanya.
Katanya, penganjur bazar pula diingatkan supaya bertanggungjawab mengawal dan menyelia bazar Ramadan.
"Mereka akan berdepan tindakan tegas jika gagal mengawal dan menyelia bazar tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!