'Hasrat ibu pulang ke pangkuan keluarga sebelum meninggal tercapai'
LABUAN - Seorang wanita yang hidup merempat selepas terkandas lebih 30 tahun di Sibu, Sarawak, meninggal dunia pagi ini ekoran penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Salmah Adeh, 67, dibawa ke Labuan untuk bersatu semula dengan satu-satunya anak perempuannya setelah kehilangan tempat tinggal di negeri jiran itu dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Amal Kebajikan Insan Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu, Lawas dan Labuan.
Wanita warga emas itu menghembuskan nafas terakhir di rumah anak perempuannya, Noredah Saman, 47, di Kampung Sungai Bedaun di sini pada jam 4.40 pagi sejurus selepas sahur.
Noredah berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menjaga ibunya walaupun hanya untuk tempoh sebulan lebih.
"Ibu dibawa pulang dari Sibu ke Miri dan ke jeti Menumbok pada 26 Februari lalu, beliau kemudian terus dimasukkan ke wad di Hospital Labuan dan hanya dihantar pulang ke rumah pada Sabtu lalu.
"Keadaan kesihatan ibu tidak banyak berubah kerana beliau agak sukar untuk berjalan atau bangun dari tempat tidur...sejak itu, dia terlantar," katanya kepada Bernama hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kembali ke pangkuan keluarga selepas lebih 30 tahun hidup merempat
Noredah berkata, hasrat ibunya untuk kembali ke pangkuan keluarga akhirnya tercapai dan beliau juga dapat bertemu dengan cucu dan ahli keluarganya yang lain sebelum meninggal dunia.
“Apa yang menyedihkan adalah ibu saya mengalami delirium (kecelaruan)...mungkin selepas beliau kembali ke Labuan atau semasa dia berada di hospital. Saya perasan deliriumnya hanya berhenti dua hari sebelum beliau meninggal dunia," katanya.
Salmah meninggalkan Labuan ketika Noredah berusia 15 tahun, untuk mencari pendapatan yang lebih baik di Sarawak tetapi akhirnya hidup merempat di Sibu selepas kehilangan kad pengenalan dan wang tunai akibat diragut.
Semasa berada di Sibu, Salmah bekerja dengan seorang penjual di Pasar Sentral Sibu dan mempunyai tempat untuk berteduh, namun selepas majikannya meninggal dunia, Salmah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat.
Demi meneruskan kehidupan dan mengisi perutnya, Salmah kemudian membantu penjual sayur di pasar kering serta tidur di kaki lima setiap hari selama lebih 20 tahun.
Pada 8 Januari lepas, dia telah dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh seorang insan yang baik hati dan ketika itulah usaha untuk membawa wanita itu kembali ke kampung halamannya bermula.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!