Gagal patuhi SOP, pertimbang tutup bazar Ramadan

Nolee Ashilin menandatangani plak simbolik merasmikan Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh.
Nolee Ashilin menandatangani plak simbolik merasmikan Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan pertimbangkan penutupan bazar Ramadan jika orang ramai masih gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, banyak aduan berkaitan perkara itu sepanjang dua hari operasi bazar Ramadan berlangsung di seluruh negeri.

"Pengendalian di pintu masuk ada, cuma apabila sudah masuk kawasan bazar Ramadan kita dapat aduan bahawa orang ramai tidak patuhi SOP.

"Setakat ini, belum ada niat untuk membatalkan (bazar Ramadan) tetapi apabila keadaan tidak terkawal dan masih menerima banyak aduan, kita pertimbangkannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Pangsapuri Seri Kepayang di sini pada Khamis.

Menurutnya, amaran keras diberikan kepada penganjur untuk memastikan SOP dipatuhi sekali gus tiada kluster baharu berkaitan bazar Ramadan wujud.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menurunkan penguat kuasa untuk kawal keadaan, tambahan pula pegawai terlibat telah diturunkan kuasa untuk mengeluarkan kompaun bagi kesalahan berkaitan.

"Belum dapat dipastikan sudah ada kompaun dikeluarkan PBT setakat ini. Angka jangkitan Covid-19 masih belum turun, pengunjung diingatkan untuk terus patuhi SOP dan disyorkan untuk tidak membawa bayi ke tempat sesak," katanya.

Mengulas majlis itu, Nolee Ashilin berkata, perpustakaan yang dibina dengan kos lebih RM60,000 itu adalah pertama dibuka di kawasan PPR.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini akan diperluaskan ke 14 PPR lain di seluruh negeri. Projek seterusnya adalah di Pangsapuri Seri Conolly, Jalan Pasir Puteh di sini.

"Aktiviti diuruskan pelbagai pihak berteraskan program pendidikan dan tuisyen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!