Jaminan vaksin legakan Harimau Malaya
JAMINAN suntikan vaksin Covid-19 kepada skuad kebangsaan menghilangkan kebimbangan dari sudut kesihatan pemain menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.
Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkembangan itu cukup melegakan anak buah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan tersebut.
Malah, beliau berkata, pemberian vaksin Covid-19 juga dapat membina keyakinan pemain dan pegawai pasukan yang akan berlepas ke UAE lebih awal bagi menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kuwait (23 Mei) sebelum menentang pasukan kebangsaan Bahrain pada 28 Mei.
"Kesihatan barisan pemain kini terjamin. Mereka dapat pergi dengan hati yang tenang dan tanpa kerunsingan atau risau mereka akan dijangkiti. Pada kita (pasukan kebangsaan) ia amat penting untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sebelum berangkat ke UAE," katanya pada Khamis.
Sebelum ini, dikhabarkan tiada jaminan diberikan kepada skuad Harimau Malaya untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke UAE, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan.
Namun, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Rabu mengesahkan 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin akan menerima dos pertama suntikan vaksin di Putrajaya, Isnin depan.
ARTIKEL BERKAITAN: Skuad Harimau Malaya divaksin Isnin depan
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata kesemua pemain dipilih untuk menerima suntikan berkenaan di Dewan Seri Seroja di Putrajaya, masih belum berada dalam senarai akhir pemain yang akan membawa cabaran negara di UAE.
Menurutnya, lebih daripada 23 pemain akan dipanggil untuk menerima dos pertama tersebut.
Dalam pada itu, katanya, pemberian vaksin Covid-19 lebih awal akan melancarkan urusan pasukan terutama dalam aspek persediaan, selain memberikan tempoh masa yang ideal untuk bertindak jika terdapat kesan sampingan dialami pemain.
"Selepas 19 April, dos kedua akan diterima 21 hari kemudian iaitu pada 10 Mei. Jadi kita ada masa yang cukup selama lebih seminggu untuk melihat keadaan pemain selepas lengkapkan kitaran suntikan vaksin sebelum berlepas ke UAE pada 19 Mei," kata Mohd Yusoff.
Malaysia akan menentang tuan rumah UAE pada 3 Jun, sebelum berdepan Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam perebutan gelaran juara Kumpulan G untuk memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sekali gus mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!