DAP masih tunggu kenyataan Hadi
SEBERANG JAYA- DAP masih menunggu kenyataan dari Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai sokongan parti itu terhadap UMNO di PRK DUN Semenyih nanti.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, hanya Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja yang memberi kenyataan sebaliknya tiada kenyataan dari Abdul Hadi.
Menurutnya, beliau tidak akan berasa hairan sekiranya kenyataan Dr Mahathir berkaitan pertemuan tersebut benar kerana mendakwa Abdul Hadi suka berdolak dalih sebelum ini.
"Dakwaan Pas tidak akan sokong UMNO di PRK Semenyih telah dibuat oleh Tun (Mahathir). Namun Hadi masih tidak memberi apa-apa kenyataan lagi. Oleh itu, kita tunggu beliau (Abdul Hadi) untuk bagi jawapan.
"Tetapi sekiranya benar, saya tidak akan berasa hairan sebab banyak kali beliau berdolak dalih. Ini bukan kali pertama," katanya kepada media tadi.
Guan Eng ditemui ketika menghadiri Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang di sini.
Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih berdasarkan pertemuannya dengan Abdul Hadi.
Dr Mahathir berkata, terdapat pengakuan secara bertulis bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO.
Ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyalahkannya berhubung pemotongan subsidi padi petani dan elaun sara hidup nelayan, Guan Eng berkata, beliau akan menyemak semula dakwaan tersebut.
"Biar saya semak dahulu sebab saya belum baca isu ini. Biar saya baca dahulu baru boleh ulas kerana takut nanti tidak tepat. Harap boleh beri keadilan buat saya.
"Yang penting, (elaun) masih ada tetapi biar saya rujuk semula terlebih dahulu. Mengenai kenyataan parti lawan itu, biasa lah. Sekarang musim PRK, pelbagai isu akan dikeluarkan termasuk yang tiada kaitan dengan kita pun, kita akan dipersalahkan. Ini taktik pembangkang," katanya.
Khairy sebelum ini berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak boleh dipersalahkan dalam isu pemotongan subsidi padi petani dan elaun sara hidup nelayan.
Beliau mendakwa, pemotongan tersebut dilakukan oleh Guan Eng selaku Menteri Kewangan yang disifatkan sebagai tidak berapa kisah tentang ekonomi rakyat sehingga membuatkan Salahuddin menangis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!