Mengangkat kepimpinan golongan muda

No Image Caption
A
A
A

PERANAN golongan muda dalam memimpin organisasi tidak harus diletakkan dalam kelompok pertubuhan belia semata-mata tetapi di semua organisasi.

Tambahan pula, Dewan Rakyat pada 3 Julai 2019 telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Situasi itu sekali gus memberi ruang kepada golongan remaja untuk mengasah bakat kepimpinan mereka dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan abang serta kakak senior berusia 31 tahun ke atas.

Selaras dengan itu, kebanyakan pertubuhan belia kini sedang giat melaksanakan pengkaderan kepemimpinan belia untuk memastikan transisi kepimpinan belia berjalan lancar.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) antara pertubuhan belia mengadaptasi perubahan itu dengan melakukan pindaan perlembagaan pada tahun 2020 bagi mewujudkan sayap pergerakan siswa dan srikandi yang mana kedua-dua pergerakan itu hanya menerima keahlian di bawah usia 30 tahun.

Menyedari peranan penting golongan belia, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan pelantikan dua orang belia seorang lelaki dan seorang wanita sebagai ahli, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pelantikan Naib Pengerusi Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenjang (GPMS) Perak, Ezatul Farita Rohawi dan Naib Presiden Remaja Gerakan Belia 4B Malaysia, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah pada 19 Mac lalu itu merupakan yang pertama dalam sejarah lantikan anggota MAIPk.

“Golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk terlibat secara aktif, berada di barisan hadapan, meremajakan program-program di bawah anjuran Majlis dengan menyuntik dinamisme baharu,” titah Sultan Nazrin berhubung lantikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, satu kajian bertajuk Politik Belia dan Pilihan Raya Umum ke-14 yang dibuat Nur Ellyanis Mohd Basori dan Junaidi Awang Besar diterbitkan di dalam Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan bahawa 53.9 peratus responden bersetuju bahawa belia perlu diberi peluang memimpin negara.

Malah dalam kajian itu lagi, 55.7 peratus daripada 96,684 orang responden yang terpilih bagi kajian tersebut bersetuju bahawa golongan belia perlu diberi peluang untuk bersuara dalam hal ehwal pembangunan negara.

Dapatan tersebut membuktikan bahawa golongan belia mahu berpartisipasi dalam menentukan hala tuju negara dan menafikan pandangan sesetengah pihak kononnya orang muda tidak minat berpolitik.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semua parti politik harus mencongak strategi baharu untuk memenangi pilihan raya tersebut kerana pengundi lebih kritikal dan isu menjadi keutamaan adalah survival pasca pandemik Covid-19.

Situasi politik yang melanda negara ketika ini menyedarkan banyak pihak khususnya orang muda bahawa pergolakan dalam kalangan pemimpin lama hanyalah satu perebutan kuasa dan bukan untuk kestabilan negara.

Kerjasama politik yang diasaskan bersama gabungan beberapa parti hanyalah untuk memenuhi hasrat ahli politik senior mendapatkan jawatan bukan berdasarkan kelayakan.

Malah alasan untuk Parlimen tidak bersidang disebabkan terdapat ahli Parlimen berusia melebihi 70 tahun membuktikan bawah politikus tua sudah tidak lagi relevan menjadi wakil rakyat.

Disebabkan itulah Gerakan Undi Calon Bawah 65 (#GUn65) yang dicetuskan sekumpulan belia terus mendapat sokongan bermula dari lapan kepada 18 pertubuhan belia sebagai desakan kepada parti politik untuk mencalonkan pemimpin muda pada PRU15 nanti.

Oleh itu, penampilan muka baharu dalam kalangan orang muda dan profesional akan menjadi salah satu kriteria penting bagi pengundi untuk menzahirkan sokongan mereka.Besar harapan rakyat di negara ini mahu melihat barisan pentadbiran didominasi oleh golongan muda yang akan bekerja memajukan negara dan bukan untuk mencatur sesiapa menjadi perdana menteri.

*Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!