2,000 sertai khatam al-quran di Masjid Putra
PUTRAJAYA - Kira-kira 2,000 peserta dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam Majlis Khatam al-Quran kali ke-46 yang diadakan di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Antara peserta luar negara yang menyertai majlis anjuran Persatuan Halaqah Al-Quran Selangor dengan kerjasama Pusat Pengajian al-Quran Tahsin Tilawah Bestari dan Masjid Putra pada tahun ini adalah dari Thailand, Indonesia dan Singapura.
Bacaan al-Quran secara beramai-ramai itu bermula jam 11 pagi dan berakhir sejam kemudian.
Perasmian majlis disempurnakan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara bercukur dan tahnik melibatkan sembilan orang bayi oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.
Dalam majlis sama turut diadakan penyampaian anugerah khas kepada tujuh penerima sijil hafizah 30 juzuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!