'Jangan jadi medium sebar wabak'
KUALA TERENGGANU - Cadangan penangguhan pergerakan rentas negeri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini yang disuarakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilihat daripada sudut positif.
Presiden Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Mohd Sham Aziz Ismail berkata, tujuan utama sekatan dilakukan ialah untuk mengelak berlakunya gelombang Covid-19 yang lebih besar.
"Saya akui ramai yang menunjukkan reaksi berbeza dalam perkara itu. Ada yang tidak boleh terima, ada yang menerima dengan positif walaupun dalam perasaan bercampur-baur.
"Dalam situasi sekarang, saya lihat apa yang kita patut utamakan ialah berusaha mengekang daripada berlakunya penularan Covid-19.
"Kita perlu terima sekiranya tidak dapat balik beraya setahun dua ini supaya Covid-19 dapat dikawal kerana pandemik kini telah berada di persekitaran kita. Sebab itu, kita perlu waspada dan prihatin supaya tidak menjadi medium penyebaran," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, tidak ramai yang boleh mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sekiranya dibenarkan rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman.
"Ramai yang balik kampung jumpa mak, ayah, adik-beradik peluk cium. Keterujaan setelah sekian lama tidak berjumpa menyebabkan SOP diabaikan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, sebagai anak perantau yang mewakili anak Terengganu di perantauan, beliau menasihati agar semua yang berada di perantauan dapat bersabar sekiranya tidak boleh beraya di kampung tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!