Iklan Aidilfitri ajak berjudi: SKMM digesa ambil tindakan tegas
KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas ke atas pengeluaran sebuah video iklan Hari Raya Aidilfitri dipercayai oleh syarikat perjudian yang jelas melanggar Akta SKMM.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, iklan itu mengajak umat Islam untuk mencari dana balik kampung dan beraya dengan menggunakan khidmat syarikat itu menyinggung sensitiviti umat Islam.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi saya gesa SKMM mengambil tindakan segera terhadap isu ini. Menteri-menteri Pas di dalam kabinet dan menteri-menteri beragama Islam untuk prihatin tentang hal ini.
"Kalau boleh tindakan tegas dapat diambil supaya amalan yang bertentangan dengan agama Islam tidak dijadikan sebagai kebiasaan dalam kalangan masyarakat orang Islam," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN:Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi
Video berdurasi dua minit satu saat itu tular di laman sosial Facebook dengan bertemakan lagu raya mengajak orang ramai khususnya umat Islam untuk berjudi.
Bait-bait lirik yang terdapat dalam video itu bukan sahaja mengejutkan banyak pihak tetapi mengundang kecaman netizen serta menarik perhatian ahli politik apabila hari istimewa umat Islam itu dijadikan sebagai modal iklan syarikat perjudian.
Mengulas lanjut perkara itu, Fuziah berkata, tindakan mempromosi syarikat perjudian dalam talian mempengaruhi umat Islam.
Tegasnya, ini bermaksud orang ramai boleh menggunakan media sosial untuk berjudi selepas berpuasa di bulan Ramadan semata-mata untuk berhari raya.
"Perbuatan ini amat bercanggah dengan kefahaman beraya yang bermaksud kembali kepada fitrah dan bersih dari dosa kerana di bulan Ramadan juga masa untuk memperoleh maghfirah atau keampunan daripada ALLAH.
"Jadi, iklan ini boleh dikira sebagai menghasut umat Islam terutama anak muda untuk melakukan dosa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!