Wakaf ilmu dalam era pandemik Covid-19

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Penerbitan buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang ditulis oleh usahawan, Datuk Muhammad Din Yusoh mewujudkan satu konsep baharu yang dipanggil wakaf ilmu dalam era pandemik ketika ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, kandungan buku itu sangat komprehensif kerana ditulis berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang juga seorang pendidik.

Menurutnya, antara tajuk dalam buku 226 halaman itu ialah Ujian Kepada Manusia dan Peringatan ALLAH, Menghargai Masa Semasa Covid-19, Selepas Covid dan Mencuri Masa di Tempat Kerja, Cara Solat Jumaat Semasa Covid.

“Buku ini diberikan percuma walaupun penerbitan buku ini melibatkan kos percetakan, malah penulis juga tidak mengambil bayaran honorarium.

“Penulis mewakafkan sepenuhnya buku ini atau dalam kata lain beliau beramal melalui penulisan yang pastinya memberi rahmat kepada orang ramai melalui ilmu dikongsikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Covid-19: Pasrah Atau Usaha’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Program yang popular dengan slogan #bukancakapkosong itu dikendalikan hos, Dinnie Asyraf Salim.

Artikel Berkaitan:

Abdul Halim (kanan) pada program Sinar Live membicarakan topik 'Covid-19: Pasrah Atau Usaha' yang dikendalikan oleh Dinnie Asyraf selaku hos di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Abdul Halim (kanan) pada program Sinar Live membicarakan topik 'Covid-19: Pasrah Atau Usaha' yang dikendalikan oleh Dinnie Asyraf selaku hos di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, buku itu digarap dalam bentuk santai dan memberi panduan serta menjawab segala persoalan berkaitan Covid-19 termasuk dari sudut hukum agama.

“Buku ini merangkumi pelbagai aspek yang sedang kita lalui dan sebahagian daripadanya adalah ingatan daripada ALLAH atas kelekaan, kealpaan, kerakusan manusia hingga ALLAH tarik nikmat yang diberi.

“Sekejap sahaja ALLAH tarik, tak payah hantar tentera. Dia hantar tentera yang tak nampak yang namanya virus,” katanya.

Buku yang disiapkan Oktober tahun lalu itu dihasilkan penulis secara kolaboratif bersama Jabatan Mufti Melaka dan jabatan tersebut akan bertindak sebagai pengedar.

Kata beliau, pihaknya akan mengedarkan buku itu ke jabatan mufti negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan agensi serta pihak lain yang mahukan buku tersebut.

Peluang jihad

Abdul Halim berkata, di sebalik ujian yang dilalui ketika ini, manusia mempunyai peluang untuk berjihad selagi wabak Covid-19 tidak berakhir.

“Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang membawa maksud seandainya kamu tahu esok hari kiamat dan di tangan kamu masih terdapat biji benih, tanamlah biji benih itu.

“Ia bererti dalam konteks situasi sekarang selagi Covid-19 tidak berakhir, selagi itulah peluang jihad terbuka untuk manusia mencari penawar dan berusaha menyumbang bagi menyelamatkan orang lain,” katanya.

Tambah Abdul Halim, dalam situasi berdepan ujian sekarang, masyarakat perlu banyak bersabar kerana pada akhirnya nikmat kesabaran akan dikecapi.

Abdul Halim
Abdul Halim

Menggunakan analogi ikhtiar pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak, beliau berkata, keadaan sama juga dihadapi masyarakat ketika ini.

“Saya ambil contoh orang yang berumah tangga, matlamat berkahwin nakkan apa? Semestinya cahaya mata. Tapi ada antaranya terpaksa menunggu sampai 15 tahun baru dapat anak.

“Pelbagai rawatan dijalani dan ramai doktor pakar ditemui dan atas kesabaran, doa, ikhtiar dan reda dengan ketentuan, akhirnya ALLAH berikan anak dan ditakdirkan anak itu kembar dua pula,” kata beliau.

Jelasnya, keadaan sama juga terpaksa dilalui masyarakat sekarang yang memerlukan kesabaran.

“Mungkin ada segelintir masyarakat anggap kita dah lama berdepan ujian ini tetapi bagi saya baru setahun kita diuji dengan suasana ini.

“Peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan sekarang adalah ijtihad para cendekiawan kita dalam pelbagai bidang sebagai ikhtiar kita mencari ubat dan penawar virus ini,” katanya.

Terselit hikmah

Abdul Halim menegaskan, di sebalik musibah pandemik terselit banyak hikmah termasuk menyatukan masyarakat dunia.

Menurutnya, keadaan dunia ketika aman tanpa sebarang peperangan melibatkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan semua negara bersatu menghadapi ujian Covid-19.

“Kalau dulu, berlaku peperangan antara AS dengan Iraq dan AS dengan Afganistan yang tidak berkesudahan tetapi bila datangnya Covid-19 kita boleh lihat tidak berlaku lagi pencerobohan antara sesebuah negara dengan negara lain.

“Di sebalik musibah ini juga, dunia dakwah kini berada di platform maya. Aplikasi maya dapat sambutan dan dakwah berkembang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!