Penerima vaksin Pfizer mungkin disuntik setiap tahun

Seorang lelaki (kanan) menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Newcastle, Britain baru- baru ini - Foto AFP
Seorang lelaki (kanan) menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Newcastle, Britain baru- baru ini - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla berkata dalam satu temu bual pada Khamis bahawa para penerima vaksin Covid-19 keluaran syarikat ubat-ubatan itu kemungkinan memerlukan suntikan ketiga dalam tempoh setahun.

Beliau juga menyatakan bahawa para penerima vaksin itu juga mungkin disuntik pada setiap tahun bagi membendung penularan pandemik tersebut.

"Kemungkinan terdapat keperluan untuk suntikan ketiga iaitu antara enam dan 12 bulan sebelum divaksinkan semula pada setiap tahun," tambahnya seperti dilaporkan AFP.

Setakat ini para penyelidik tidak mengetahui berapa lama perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 ke atas manusia bagi menghalang jangkitan Covid-19.

Satu kajian pada awal bulan ini yang dikeluarkan oleh Pfizer menunjukkan suntikan vaksin keluarannya berkesan lebih 91 peratus bagi melindungi para penerimanya daripada dijangkiti pandemik tersebut.

Vaksin Pfizer-BioNTech dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat ubat-ubatan dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Pfizer dengan firma ubat-ubatan Jerman, BioNTech.

Ia memainkan peranan penting dalam kempen vaksinasi di AS dan Eropah.

Pada Februari lalu, Pfizer mengumumkan akan menguji suntikan ketiga vaksin keluarannya sebagai usaha membendung jangkitan Covid-19. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!