Kementerian Kesihatan nafi abai pesakit, kakitangan Mawar Medical Centre
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan menafikan tohmahan pihak tertentu yang mendakwa tidak mengendahkan kebajikan pesakit dan kakitangan Mawar Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan selepas pusat kesihatan itu diarahkan untuk ditutup serta-merta pada 15 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemelut isu pelesenan yang dihadapi oleh pusat perubatan swasta itu berpunca daripada masalah dalaman yang menyebabkan peletakkan jawatan kesemua doktor pakar yang berkhidmat di premis tersebut.
Jelasnya, Pengerusi Mawar Medical Centre dan Pusat Hemodialisis Mawar, Datin Chua Lay Ping telah menghantar surat rasmi kepada beliau pada 11 Februari lalu dan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai pendapatan dan tidak dapat membayar gaji bagi bulan Februari 2019.
“Ketiadaan kakitangan untuk hadir kerja akan menyebabkan pesakit dialisis tidak dapat menerima rawatan yang rapi dan mereka memohon kepada kementerian untuk menempatkan semua pesakit ke pusat hemodialisis yang lain dengan segera.
“Pusat perubatan itu juga telah menampal notis untuk memaklumkan bahawa rawatan dialisis hanya akan disediakan sehingga 14 Februari sahaja dan pesakit diminta membuat perancangan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkefly menjelaskan, kementerian tidak akan membenarkan sebarang kemungkinan yang menyebabkan pesakit tiba di pintu premis untuk mendapatkan rawatan tetapi mendapati premis sudah tidak beroperasi dan pada masa yang sama, tidak mampu menjaga kebajikan mereka.
“ Maksud surat dan notis seperti yang dinyatakan amat jelas. Kementerian tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bertindak dengan pantas demi menjaga kemaslahatan semua pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian turut menyangkal dakwaan bahawa pegawai penguatkuasa Kementerian tidak membenarkan staf premis untuk mengambil barangan peribadi mereka dan mengarahkan staf untuk tidak hadir bekerja pada 15 Februari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!