Tanding di Gombak, Amirudin serah kepada pucuk pimpinan
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mahu menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Amirudin berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mungkin bertanding di kerusi berkenaan yang kini disandang oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Amirudin, sebagai ahli parti, beliau patuh kepada semua arahan pucuk pimpinan dan berhasrat untuk memastikan Selangor menyumbang kerusi untuk PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 nanti.
"Itu adalah strategi dan taktikal (bertanding kerusi mana) yang akan kita bincangkan apabila tiba masanya.
"Kemungkinan bagi saya tu macam-macam. Mungkin bertanding dan mungkin juga tidak, tapi apa yang pasti, kemungkinan untuk saya lompat parti itu tidak ada," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar Smart Selangor yang berlangsung di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, pada Jumaat.
Sabtu lepas, Pertubuhan Gerak98 dan Otai Reformis menerusi satu sidang akhbar mendesak PH dan PKR menolak calon yang disyaki masih mempunyai hubungan dengan Mohamed Azmin pada pilihan raya akan datang.
Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail dan Ketua Gerak 98, Mohamad Ezam Mohd Nor.
Otai Reformis sebelum ini juga pernah mengkritik pentadbiran Amirudin melibatkan beberapa perkara antaranya isu cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.
Amirudin pernah dikaitkan sebagai pengikut setia Mohamed Azmin ketika beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!