Arteta bangga Arsenal tewaskan gergasi liga Czech
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta bangga dengan aksi skuad kendaliannya yang berjaya menempah slot ke separuh akhir Liga Europa setelah menewaskan juara Liga Republik Czech, Slavia Praha, 4-0, pada awal pagi Jumaat.
Menurut Arteta, kejayaan berkenaan sekali gus menggambarkan bahawa skuad The Gunners sudah kembali ke landasan kemenangan dan akan terus mencatatkan kemenangan selepas ini.
“Kami mara ke separuh akhir setelah menewaskan juara Republik Czech, Sparta Praha dan ia sesuatu yang menakjubkan.
“Kredit kepada semua pemain yang telah beraksi dengan sebaik mungkin pada perlawanan ini dan sekali gus merealisasikan kemenangan yang dicari-cari.
“Mereka (pemain) telah beraksi dengan ‘berani’ di sebalik tekanan-tekanan hebat yang diterima ketika ini,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Arsenal membuka jaringan menerusi Nicolas Pepe pada minit ke-18, diikuti Alexandre Lacazette (minit ke-21, 77) dan Bukayo Sanka pada minit ke-24.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi suku akhir pertama di Emirates, 9 April lalu.
Sementara itu, Arteta berkata, kemenangan berkenaan ditujukan khas kepada penyerang Pierre-Emerick Aubameyang yang tidak dapat beraksi kerana dimasukkan ke hospital akibat demam malaria.
“Dia (Aubameyang) kini berada di hospital dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
“Berdasarkan laporan perubatan, dia dalam keadaan yang stabil dan memerlukan beberapa hari untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!