Iklan judi: AMK Pahang buat dua laporan polis
KUANTAN- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang membuat dua laporan polis berhubung iklan perjudian yang bertemakan lagu Hari Raya Aidilfitri oleh syarikat perjudian dalam talian yang tular di laman sosial sejak Khamis.
Ketuanya, Mohd Mustaqim Abdul Jalil berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan siasatan terperinci mengenai aktiviti perjudian berkenaan.
Menurutnya, iklan tersebut mengajak umat Islam mencari dana balik kampung dengan berjudi dan ini akan mempengaruhi anak muda.
"Saya kesal kerana video ini boleh tersebar begitu luas tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa. Tetapi yang amat menakutkan saya adalah kesannya kepada anak muda.
"Kalau kita lihat dalalm video itu rata- ratanya adalah anak muda dan saya yakin bahawa dengan video ini akan mempengaruhi anak-anak muda untuk berjinak-jinak dengan judi secara dalam talian walaupun taruhannya kecil.
"Jadi, kita minta semua pihak berkuasa dapat membanteras budaya tidak sihat ini daripada terus merebak," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Jumaat.
Video berdurasi dua minit satu saat itu tular di laman sosial Facebook dengan bertemakan lagu raya mengajak orang ramai khususnya umat Islam untuk berjudi.
Malah, iklan berkenaan turut menampilkan beberapa pelakon dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu.
Rakaman itu mengejutkan banyak pihak dan mengundang kecaman netizen serta menarik perhatian ahli politik apabila hari istimewa umat Islam itu dijadikan sebagai modal iklan syarikat perjudian.
Mohd Mustaqim mendakwa, syarikat perjudian itu umpama mempunyai 'lesen besar' sehingga berani melakukan iklan secara terbuka.
Justeru katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta supaya bertegas dalam menangani isu perjudian dalam talian ini.
"Kenapa semua ini boleh berlaku, adakah PN membenarkan aktiviti ini dijalankan secara berleluasa?,"soalnya.
Sementara itu, beliau berkata, laporan itu akan menyusul secara berperingkat di setiap cabang PKR di seluruh Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!