Tunggang agama untuk raih simpati

Mujahid ketika ditanya pemberita pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Mujahid ketika ditanya pemberita pada majlis tersebut di sini, hari ini.
A
A
A

IPOH - Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kononnya kerajaan PH tidak prihatin kepada jemaah haji disifatkan sebagai menunggang agama untuk meraih simpati.

Justeru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meminta orang ramai khususnya bakal jemaah haji supaya tidak mempercayai berita palsu di media sosial berhubung pelbagai isu mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditularkan.

Menurut Mujahid, isu yang dibangkitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan keraguan dan kesangsian serta rasa cemas orang ramai terhadap agensi berkenaan.

"Bagi saya isu yang ditimbulkan ini lebih kepada politik kerana ada pihak yang sentiasa menunggang isu agama semata-mata untuk meraih simpati dan sentimen kononnya kerajaan hari ini tidak prihatin kepada jemaah haji.

"Jangan mudah percaya kepada WhatsApp, percaya kepada Tabung Haji," katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan sambutan Tahun Baru Cina yang disertai kira-kira 500 orang termasuk golongan mualaf di Masjid Muhammadiah di sini hari ini.

Pada masa sama, Mujahid turut meminta bakal jemaah haji yang menerima surat tawaran menunaikan fardu haji supaya memberi pengesahan di pejabat cawangan Tabung Haji yang berhampiran sama ada boleh menunaikan ibadah berkenaan atau sebaliknya.

"Ini kerana mereka yang layak menunaikan haji perlu menandatangani surat pengesahan sama ada berkemampuan atau tidak untuk menyempurnakan kerja-kerja haji dan ibadah lain semasa di Tanah Suci.

"Sering kali apabila mereka menerima surat tawaran, dia ingat sudah selesai dan boleh pergi tanpa datang ke pejabat untuk tujuan pengesahan sedangkan pengesahan ini penting kerana jemaah haji yang betul-betul boleh pergi, nama mereka akan dimasukkan ke dalam sistem," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sekiranya jemaah haji tidak dapat menunaikan haji atas beberapa faktor, kita akan keluarkan dari senarai dan memberi laluan kepada bakal jemaah yang membuat rayuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!