JHEAT nafi tangkap individu tak berpuasa seperti ditularkan
KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menafikan pihaknya ada melakukan tangkapan terhadap beberapa individu yang didakwa tidak berpuasa seperti ditularkan di laman sosial sejak Khamis.
Pesuruhjayanya, Mat Azmi Arshad berkata, sehingga hari ini, bahagian penguatkuasaan pihaknya masih tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap umat Islam yang tidak menghormati Ramadan terutamanya makan di tempat terbuka pada siang hari.
"Sememangnya kami kini menggiatkan usaha membendung maksiat sepanjang bulan puasa ini bagi memastikan umat Islam sentiasa menjaga imej dan kesucian agama.
"Penguatkuasaan akan dilakukan secara berterusan sepanjang bulan Ramadan ini terutama di kawasan yang dikenalpasti sering menjadi 'port' kumpulan mereka yang ponteng puasa ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas beliau, JHEAT sudah mengenal pasti kawasan dan tempat yang kebiasaannya menjadi lokasi kaki ponteng puasa ini berkumpul dan makan termasuk kedai-kedai makan serta restoran di seluruh negeri ini.
"Individu yang ditahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika didapati bersalah makan dan minum di khalayak ramai sepanjang Ramadan," katanya.
Sebelum ini sejak Khamis, tular di laman sosial kononnya JHEAT ada membuat tangkapan terhadap beberapa kaki ponteng puasa di negeri ini dan dimasukkan ke dalam van jenazah putih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!