'Boleh berbuka puasa sekiranya nyawa diancam'
PENDANG - Umat Islam yang berpuasa dibenarkan untuk membuka puasa sekiranya mereka berada dalam situasi yang mengancam nyawa.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, bagaimanapun jika umat Islam masih mampu menghalang dan mengelak diri daripada diancam, dibunuh, maka ibadat puasa perlu diteruskan.
Katanya, orang bukan Islam tiada hak untuk menghalang kita melaksanakan kewajipan agama apatah lagi puasa itu salah satu rukun Islam yang kelima.
"Sekiranya mereka memaksa agar umat Islam tidak berpuasa perkara yang perlu dilihat adalah bentuk ancaman yang diterima ketika itu.
"Jika kita dipaksa sehingga akan menyebabkan kehilangan nyawa maka dibolehkan berbuka namun sekiranya masih mampu melawan dan boleh melarikan diri maka kita perlu meneruskan puasa," katanya ketika mengulas mengenai dua pengawal keselamatan yang didakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka hanya kerana berpuasa pada Rabu.
Fadzil berkata sebagai orang Islam, kejadian itu harus dijadikan iktibar dan pedoman bersama selain melihat rahmat di sebalik kejadian terbabit.
Fadzil mengiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menunaikan Solat Jumaat serta menunaikan zakat fitrah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Masjid An- Nur Tanjung Setol di sini pada Jumaat. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.
Dalam pada itu, Syeikh Zakaria berkata, sehingga Jumaat, jumlah zakat fitrah yang diterima adalah sebanyak RM29,000.
"Daripada jumlah berkenaan RM25,000 adalah pembayaran yang dibuat secara atas talian manakala selebihnya adalah bayaran di kaunter.
"Ini suatu yang membanggakan kita yang mana turut memberi gambaran bahawa rakyat sudah boleh menerima kaedah pembayaran zakat secara atas talian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!