Jakim pandang serius iklan raya promosi judi
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius dan menentang keras perbuatan yang menimbulkan kegusaran dan tidak senang umat Islam di negara ini.
"Hari ini, tular satu video dipercayai mengandungi iklan judi sempena Hari Raya Aidilfitri. Video tersebut telah menimbulkan kegusaran dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.
"Jakim memandang serius dan menentang keras perbuatan seumpama ini sekiranya benar ia berlaku lebih-lebih lagi ketika umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan," kata Jakim dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru, Jakim menyokong usaha pihak yang berwajib dalam mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini mengikut lunas undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
"Jakim juga menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya umat Islam agar tidak menularkan video tersebut kerana ia boleh memberikan kesan yang tidak baik.
"Umat Islam juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian termasuklah membantu dalam mempromosikan perjudian yang jelas bertentangan dengan hukum syarak," katanya.
Pada Khamis tular satu klip video iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian yang mengajak umat Islam berjudi pada bulan Ramadan yang tular di saluran media sosial berkenaan.
Lebih mengejutkan iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.
ARTIKEL BERKAITAN:Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi
ARTIKEL BERKAITAN:Iklan Aidilfitri ajak berjudi: SKMM digesa ambil tindakan tegas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!