Dulu mahu bekerja, kini bakal ke Harvard College
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 20, tidak menyangka diterima menyambung pengajian di Harvard College, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).
Muhammad Hamdi mengakui pernah terfikir untuk terus bekerja sebaik sahaja tamat Tingkatan Lima namun hasrat itu dipadamkan selepas mendapat pendedahan mengenai peluang menyambung pelajaran melalui biasiswa.
Menurutnya, peluang belajar di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur sejak Tingkatan Empat menjadikannya menyimpan impian untuk menyambung pengajian ke luar negara.
“Saya seorang yang tidak akan mensia-siakan peluang yang ada. Jadi apabila Bank Negara memberi peluang untuk menghantar permohonan (biasiswa) saya nekad mencuba nasib.
“Saya juga tidak pernah terfikir untuk ke Amerika Syarikat (AS) kerana program yang ditawarkan oleh Bank Negara adalah ke United Kingdom. Bagaimanapun, selepas meneliti peluang yang ada, saya memohon untuk ke AS,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Muhammad Hamdi yang berasal dari Pahang memberitahu, walaupun membesar dalam keluarga B40 tidak menjadi penghalang untuknya mencapai kejayaan dan bersyukur kerana mendapat Biasiswa Kijang, Negara Kijang.
“Ayah saya berniaga sendiri secara kecil-kecilan manakala ibu pula suri rumah. Pada saya paling penting ialah menjaga akhlak. Saya sentiasa ingat bahawa ilmu itu cahaya, ia tak datang pada orang yang berbuat dosa.
“Saya juga gemar mengajar orang lain sebagai satu kaedah untuk saya mudah mengingati,” katanya yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi.
Seorang lagi pelajar, Jarell Cheong Tze Wen, berkata, dia bercita-cita menyambung pengajian peringkat tertinggi di mana-mana universiti terkemuka dunia ketika berumur tujuh tahun lagi.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Kolej Sunway, Petaling Jaya dalam A-Level itu berkata, dia berusaha keras untuk memperoleh keputusan yang cemerlang.
“Saya pernah menghadiri majlis graduasi bapa saudara yang memperoleh PhD dari Universiti Cambridge, United Kingdom. Jadi sejak itu saya bercita-cita menyambung pengajian di universiti seumpamanya," katanya.
Menurut Jarell, kaedah belajar bukan sekadar membaca buku. Jadi saya suka mencipta soalan sendiri dan membuat latihan dengan lebih kerap,” katanya yang akan menyambung pengajian dalam bidang Matematik.
Muhammad Hamdi dan Jarell adalah antara dua daripada 1,968 pelajar yang diterima memasuki Harvard College untuk Kelas 2025 daripada 57,435 pemohon.
Harvard College merupakan sekolah sarjana muda Universiti Harvard iaitu satu institusi pendidikan tinggi terkemuka di dunia.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar muda tersebut pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!