Hadi Fayyadh kena tunggu lagi

Hadi Fayyadh (tengah) mengalami kecederaan ACL semasa menjalani latihan. - Foto: Azul Claro Numazu Malaysia Fan Club.
Hadi Fayyadh (tengah) mengalami kecederaan ACL semasa menjalani latihan. - Foto: Azul Claro Numazu Malaysia Fan Club.
A
A
A

HASRAT penyerang skuad Bawah 23 Tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk memulakan penampilan pertama bersama kelab Divisyen Tiga, Azul Claro Numazu tidak kesampaian apabila mengalami kecederaan anterior cruciate ligament' (ACL) semasa latihan.

Kecederaan itu menyebabkan pemain kelahiran Kuala Lumpur tersebut terpaksa melupakan aksi saingan awal musim ini kerana perlu menjalani pembedahan pada kaki kanannya.

Bagaimanapun menurut Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada, Hadi Fayyadh yang baru pulih kecederaan pergelangan kaki sebelum ini optimis kembali bersama kelab itu pada hujung musim ini memandangkan liga bola sepak profesional Jepun dijadualkan bersambung sehingga Disember depan.

Biarpun begitu Hamada yang bertanggungjawab menguruskan pemain tersebut berkata, Hadi Fayyadh mengakui dia terkilan kerana tidak dapat beraksi bersama Numazu pada awal musim ini disebabkan kecederaan itu.

“Beliau akan menjalani pembedahan dan rawatan di Jepun, dan dibantu sepenuhnya sepanjang sesi pemulihan oleh kelab Fagiano Okayama dan juga Azul Claro Numazu.

“Hadi Fayyadh akan menjalani pembedahan di Osaka minggu depan dan tempoh proses pemulihan hanya akan di ketahui selepas pembedahan tersebut.

“Saya telah bercakap dengan Hadi Fayyadh sebelum ini, dia memaklumkan berada dalam keadaan baik dan berterima terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepadanya.

Dalam pada itu jelas Hamada, Hadi Fayyadh yakin dia akan kembali pulih semula selepas menjalani perubatan di sini dan kembali semula beraksi bersama Numazu sebelum musim ini berakhir.

Artikel Berkaitan:

“Sama-sama kita beri sokongan kepada Hadi Fayyadh supaya dia sentiasa kuat bagi menghadapi dugaan ini,” kata Hamada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!