Bebal yang makin berleluasa

No Image Caption
A
A
A

SEJAK beberapa hari di bulan puasa, ada beberapa buku yang saya baca dan menarik perhatian. Walaupun kerap terlena ketika membaca tetapi saya tetap akan menghabiskan bacaan.

Cuma bacaan saya akan mengambil masa lama untuk menghabiskannya. Buku-buku ini biasanya akan tersisip di tepi bantal untuk diselak baca sebelum tidur. Beberapa kali juga isteri akan menegur apabila melihat saya membaca dengan mata tertutup.

“Baca ke tidur?” tanya isteri melihat misterinya teknik bacaan saya.

Kerap juga saya aplikasikan buku sebagai ubat tidur apabila mata tidak mahu lelap. Entah kenapa, saya pun tidak tahu, apabila baca sahaja buku, beberapa perenggan, maka mata pun lena tanpa dipaksa-paksa. Begitulah berkesannya buku sebagai ubat tidur.

Tentang buku yang saya baca iaitu sebuah buku ditulis Syed Hussein Alatas, ada satu perkataan dicipta oleh beliau menarik perhatian saya iaitu ‘jadong’. Perkataan ‘jadong’ sebenarnya hasil gabungan perkataan jahat, bodoh dan sombong.

Saya ada menyemak dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi tidak ada pula didaftarkan perkataan itu sebagai perkataan rasmi, cuma yang ada ‘jodong’ bermaksud mencebikkan bibir dengan maksud menghina.

Maka, saya fikir kalau digabungkan perkataan ‘jadong’ dan ‘jodong’ dalam satu ayat amat menarik. Contohnya jika saya ingin menulis tentang orang-orang politik, mungkin saya boleh menulis seperti berikut,

‘Ahli politik ini ‘jadong’ dan suka ‘menjodongkan’ orang lain yang tidak sehaluan dengannya.’ Cuma ketika saya membacanya, memang terasa pelik. Saya rasa elok sahaja perkataan ‘jadong’ didaftarkan dalam Kamus Dewan, supaya nanti boleh digunakan secara rasmi. Sama ada secara percakapan atau penulisan, anak-anak kita di sekolah molek diperkenalkan dengan perkataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perkataan itu amat sesuai digunakan jika melihat keadaan yang berlaku di negara kita sekarang. Bermacam hal berlaku melibatkan salah laku terutama dalam kalangan orang yang boleh kita kata sebagai harapan dan sandaran rakyat. Namun, apakan daya rupa-rupanya tongkat membawa rebah.

Rasuah, kisah orang politik berebut kuasa sudah cemuh diperkatakan. Ia seperti mencurah air ke daun keladi. Mereka bukan ambil peduli. Sebab itulah elok sahaja kita panggil segelintir orang begini sebagai orang ‘jadong’ sahaja.

Lagi elok kita bahasakan mereka ini bukan lagi sebagai ahli politik tetapi ahli-ahli jadong. Tanpa prejudis, memang ada juga pemimpin yang baik dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Cuma kebanyakan pemimpin dan ahli politik yang jenisnya ‘jadong’ kerap kita lihat, yang juga berkeras tidak mahu mengaku akan kesalahan mereka. Mereka giat bertempik mengungkit memberitahu jasa-jasa yang mereka sudah lakukan kepada negara dan rakyat kononnya.

Sedangkan, memang menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang yang dipilih diberi tanggungjawab dan dibayar gaji serta elaun, bukan buat kerja percuma.

Paling penting, kesejahteraan rakyat jelata hendaklah dibela sama ada secara fizikal atau mental. Serba-serbi kecukupan dalam keperluan hidup, maka sihatlah fizikal dan mental rakyat jelata.

Mereka yang ‘jadong’ boleh dikatakan bebal juga. Menurut pemikiran Syed Hussein Alatas yang hidupnya penuh dengan berfikir, beliau agak khuatir dengan orang-orang bebal ini.

Beliau ada menggariskan apakah ciri-ciri orang bebal itu seperti ketidakmampuan menganalisis masalah, ketidakmampuan menyelesaikan masalah jika dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni berfikir dan tidak mengakui kebodohannya.

Kita memang boleh kenal dan tahu golongan mana yang mempunyai ciri-ciri bebal ini dan yang paling bahaya ia makin berkembang dengan pesat.

Elok kita rakyat jelata ambil peranan menyekat perkembangan itu. Selain berbahaya, golongan begini mudah lupa dek kerana bebalnya mereka. Dan mereka kalau hendak dikenal, ada pada ahli-ahli jadong yang sudah berusia.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!