Publisiti murahan kata Qobin
SHAH ALAM - Pendaki negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan kontoversi yang berlaku melibatkan dakwaan Bumi ini rata sebagai satu publisiti murahan.
Menurutnya, penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang membuat dakwaan itu tidak mempunyai kepakaran langsung tentang apa yang disebutkannya itu.
“Saya pernah sampai ke 90° Kutub Utara dan 90° Kutub Selatan dan ini menunjukkan bukti kompas bahawa dunia ini bulat.
“Tapi yang nak bercakap Bumi ini datar daripada seorang yang langsung tidak mempunyai kepakaran berkenaan perkara yang ingin disampaikan, itu nak mencari publisiti murahan dan sengaja ingin dikecam netizen,” katanya dalam satu kenyataan,.
Sebelum ini, Suhaimi mendakwa Bumi berbentuk rata dan mencabar angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha untuk bersumpah dengan nama ALLAH SWT bahawa Bumi berbentuk sfera.
Dr Sheikh Muszaphar dalam satu entri di Instagram kelmarin menjelaskan Bumi berbentuk sfera atau bulat namun bukan seperti bola namun lebih kepada bentuk telur.
Mengulas lanjut, Qobin berkata sejak kebelakangan ini ramai pihak cuba meraih publisiti murahan dan perkara ini membimbangkan.
“Saya lihat ramai orang akhir zaman ini sengaja membuat perkara-perkara yang kurang bermanfaat dan sengaja diviralkan hanya untuk meraih publisiti murahan.
“Saya gusar sekiranya perkara ini tidak dibendung, apa akan jadi dengan anak muda yang akan memimpin negara pada masa depan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dengan nama ALLAH...: Angkasawan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!