Lelaki dicekup berkhalwat beri alasan tumpang tidur

Seorang lelaki ditahan bersekedudukan dengan seorang wanita bujang di sebuah rumah di Padang Serai, Kulim awal pagi Sabtu. - Foto: Ihsan PADK
Seorang lelaki ditahan bersekedudukan dengan seorang wanita bujang di sebuah rumah di Padang Serai, Kulim awal pagi Sabtu. - Foto: Ihsan PADK
A
A
A

KULIM - Seorang lelaki ditahan bersekedudukan dengan seorang wanita di sebuah rumah di Padang Serai, dekat sini dengan memberi alasan menumpang tidur di rumah itu pada pagi Sabtu kerana urusan kerja.

Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati lelaki berusia 46 tahun yang juga suami orang itu bekerja sebagai kontraktor dan tinggal di Taiping, Perak.

Menurutnya, serbuan dilakukan bersama empat anggota Skuad Rondaan Sukarela (SRS) kira-kira jam 1.54 pagi hasil maklumat orang awam yang mengesyaki berlakunya aktiviti maksiat di rumah sewa milik wanita bujang berusia 36 tahun tersebut.

"Lelaki itu sudah berkahwin dengan seorang warga Indonesia lebih 15 tahun dan sudah mempunyai anak. Alasan yang diberikan untuk tumpang tidur di rumah wanita yang bekerja kilang di Padang Serai itu adalah mempunyai urusan kerja di kawasan tersebut.

"Kedua-duanya telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk dibuat laporan tangkapan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anwar Shariffudin berkata, mereka berdua ditahan di bawah Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2014 Negeri Kedah kerana disyaki berkhalwat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, lelaki berkenaan memakai baju T dan berkain pelikat manakala wanita itu pula berada di dalam sebuah bilik dengan berkain batik serta memakai baju T.

"Soal siasat mendapati mereka berdua berada di dalam sebuah rumah tanpa hubungan suami isteri dan bukan mahram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!