Nasi kandar 'drive-thru' antara 15 premis diberi amaran
IPOH - Restoran nasi kandar terkenal yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu antara 15 premis makanan yang diberi amaran agar tidak menjual makanan kepada umat Islam pada waktu siang.
Teguran itu diberikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Op Plastik Hitam di sekitar bandar raya Ipoh pada Jumaat.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, operasi yang turut dijalankan di seluruh negeri itu bukan hanya melibatkan operasi kedai mamak tetapi premis-premis makanan yang lain.
Menurutnya, tumpuan operasi digerakkan ke lokasi-lokasi popular yang menjadi port geng ponteng puasa.
"Selain penguatkuasaan kepada kesalahan kerana tidak menghormati Ramadan, nasihat, teguran dan amaran turut diberikan kepada mereka yang ditahan.
"Teguran ini termasuklah kepada pemilik premis makanan yang bersubahat menyediakan juadah untuk kaki ponteng puasa sepanjang seminggu bulan Ramadan ini," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama JAIPk, Ahmad Nizam Amiruddin berkata, dalam operasi terbabit, tiada sebarang notis kesalahan dikeluarkan dan pemeriksaan mendapati rata-rata pengunjung membeli makanan secara bungkus, bukan makan di kedai secara terbuka.
Katanya, teguran dan amaran telah diberikan kepada semua pengusaha kedai agar tidak membenarkan premis mereka digunakan umat Islam sebagai tempat makan bagi mengelak dikenakan tindakan.
"Semua pemilik akur dan sememangnya mereka faham peraturan ditetapkan kerana itu mereka menyediakan makanan secara bungkus.
"Jika ada individu makan serta-merta di situ barulah dianggap satu kesalahan, jika tiada kita akan beri nasihat supaya semua pihak mematuhi syariat berpuasa sepanjang Ramadan ini," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat sekiranya mengetahui mana-mana lokasi awam yang dijadikan tempat ponteng puasa.
"Tidak semestinya di kedai makan, di tempat umum atau dalam kenderaan pun kita akan buat pemeriksaan sekiranya terdapat aduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!