Putera Philip selamat dimakamkan, upacara dilangsung penuh istiadat diraja

Jasad mendiang Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II selamat dimakamkan di St George Chapel di Istana Windsor. - Foto REUTERS
Jasad mendiang Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II selamat dimakamkan di St George Chapel di Istana Windsor. - Foto REUTERS
A
A
A

JASAD mendiang Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II selamat dimakamkan di St George Chapel di Istana Windsor jam 3 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Ratu Elizabeth II dilihat hadir menaiki kenderaan The State Bentley dengan mengenakan kot hitam dan mengamati upacara dengan penuh ketenangan.

Selain Ratu Elizabeth II, mereka yang hadir dalam upacara pemakaman Duke of Edinburgh itu termasuk Prince of Wales, Putera Charles dan isterinya Puteri Camilla, Duke of Cambridge Putera William, Kate Middleton, Putera Harry, Puteri Beatrice serta Puteri Eugenie.

Turut kelihatan anakanda Putera Philip, Puteri Anne, Putera Edward dan Putera Andrew. Manakala Putera Donatus, Landgrave of Hesse, mewakili dua kakak Putera Philip iaitu Puteri Sophie dan Puteri Cecillie dalam upacara berkenaan.

Upacara bersejarah itu dijalankan mengikut istiadat diraja dan dilangsungkan dengan penuh kesederhanaan.

Istiadat pemakaman yang berlangsung di St George Chapel itu diketuai oleh Archbishop Canterbury, Justin Welby.

Dalam upacara awal, keranda Putera Philip dipindahkan dari bangunan Istana Windsor dan kemudian dibawa masuk ke St George Chapel.

Ia ditempatkan di dalam sebuah Land Rover berwarna hijau gelap yang telah diubah suai khas oleh mendiang sendiri semasa hayatnya.

Ia kemudiannya diiringi pasukan tentera dan keluarga diraja.

Seramai 730 anggota Royal Horse Artillery yang menyertai upacara berkenaan melaksanakan beberapa simbolik dalam mengiringi perjalanan terakhir Putera Philip.

Artikel Berkaitan:

Antaranya ialah alunan muzik, tembakan meriam selang lapan minit serta paluan loceng gereja.

Tempoh bertafakur selama satu minit juga dilaksana ketika ketibaan keranda Putera Philip di perkarangan gereja sekitar jam 3 petang, diiringi tembakan meriam, sebelum proses bermula.

Jasad Putera Philip kemudiannya diletakkan di The Royal Vault di St George Chapel.

Putera Philip, suami kepada Ratu Elizabeth II meninggal dunia 9 April lalu di Istana Windsor, pada usia 99 tahun.

Susulan itu, keluarga diraja itu mengumumkan tempoh berkabung selama dua minggu, manakala lapan hari di seluruh United Kingdom. - Terjemahan Astro Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!