Memanfaat keberkatan Ramadan
RAMADAN kali ini adalah kali kedua kita melaksanakannya ketika pandemik Covid-19. Walaupun terdapat kelonggaran tahun ini tetapi ia masih berbeza dari tahun sebelumnya.
Sebenarnya al-Quran diturunkan pada bulan ini yang menjadi petunjuk sekalian alam, manakala hadis menyempurnakan ajaran dalam al-Quran. Dalam keadaan apa sekalipun, umat Islam wajib mencari penyelesaian bersandarkan al-Quran dan hadis.
Penyelesaian sesuatu perkara sebenarnya telah digarap oleh al-Quran, cuma manusia sahaja yang gagal membongkar rahsia al-Quran. Ayat-ayat al-Quran yang tersurat dan tersirat perlu dihayati serta diaplikasi dalam kehidupan seharian bagi menzahirkan ketaatan dan kepatuhan umat Islam kepada Yang Maha Pencipta.
Kesusahan akan diakhiri dengan kesenangan. Itulah dijanji al-Quran untuk peringatan kepada kita semasa pandemik. Al-Quran menggariskan batas sempadan antara halal dan haram. Ia menjelaskan tindakan yang boleh dilakukan dan tindakan dilarang.
Al-Quran juga mengajar segala bentuk ilmu dan merupakan manual hidup paling sempurna serta lengkap, bukan sahaja bagi orang Islam, begitu juga orang bukan Islam, malah bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada seluruh alam. Al-Quran memberi jaminan kepada manusia memperoleh kehidupan seimbang dan sempurna.
Al-Quran sebenarnya memiliki pelbagai sifat menarik, antaranya cahaya (nur) seperti dalam surah al-Tagabun ayat 8, petunjuk (huda) seperti dalam surah al-Baqarah ayat 2, rahmat (rahmah) dalam surah al- A’raf ayat 203, penyembuh (shifa’) dalam surah Yunus ayat 57, pembawa perkhaba-ran gembira (basher) dalam surah al-Fushilat ayat 4, pemberi peringatan (nadzir) dalam surah al-Furqan ayat 1, penerangan (mau’izah) dalam Surah Aali Imran ayat 138, keberkatan (mubarak) dalam Surah al-Anbiyak ayat 50 dan nyata (mubin) seperti dalam surah al-Naml ayat 1.
Kesempurnaan al-Quran boleh dilihat dalam surah al-Baqarah yang menyatakan tiada sebarang syak pada al-Quran dan menjadi petunjuk kepada orang bertakwa. Namun, sekiranya al-Quran diabaikan, amaran diberikan amatlah dahsyat.
Peliknya, ada dalam kalangan orang Islam sendiri mempertikai kemuliaan al-Quran dan meletakkan perkara lain lebih tinggi daripada al-Quran. Lebih jelik lagi mereka mentafsir al-Quran mengikut kesesuaian diri mereka sahaja.
Dengan keunikan dan kesempurnaan al-Quran, sudah tentu ia adalah manual lengkap umat Islam yang wajar diletakkan di tempat tertinggi dalam sistem kenegaraan Malaysia yang mempunyai majoriti umat Islam. Malah, susur galur sejarah juga telah meletakkan al-Quran dan al-sunnah sebagai teras kepada perundangan Islam di Malaysia.
Namun, di sebalik keberkatan Ramadan, tahun ini kita melaksanakan ibadah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi menjaga kemaslahatan umum. Dengan SOP ketat kehadiran di masjid dan surau, timbul persoalan, apakah keberkatan Ramadan tahun ini berkurangan?
Sesungguhnya tidaklah berkurang keberkatan itu tetapi umat Islam mestilah bijak melakukan amalan tidak seperti lazimnya. Ramadan bukanlah diukur daripada meriahnya orang Islam melaksanakan amal ibadat tetapi keikhlasan kita melakukannya.
Parameter yang digunakan bukan semata-mata amalan di hadapan orang ramai tetapi iltizam kita melakukannya.
Ramadan merupakan madrasah bagi umat Islam mendidik jiwa, menyemai keikhlasan dan membenih keinsafan. Jika dengan ujian pandemik Covid-19 dan latihan madrasah Ramadan kita masih tidak mengambil pengajaran, jadilah kita orang yang rugi.
Moga Ramadan kali ini membawa keberkatan. Marilah kita semua bermunajat kepada ALLAH SWT agar pandemik yang kita hadapi ini segera berlalu. Hanya kepada-Nya sahaja kita meminta pertolongan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!