Perintis nanas cobek di Malaysia nikmati hasil
TUMPAT - Siapa sangka cubaan seorang bekas kontraktor pembinaan yang juga perintis tanaman nanas cobek di negara ini untuk menanam variasi itu sejak akhir 2019, kini berjaya membuahkan hasil tuaian pertama.
Penanam nanas cobek, Mohd Alida’em Ibrahim, 47, berkata, uniknya nanas variasi itu ialah untuk menikmatinya, kulitnya tidak perlu dikupas tetapi hanya perlu mencubit mata atau ruasnya menggunakan jari kerana teksturnya yang begitu rapuh selain mempunyai rasa yang sangat manis dan berjus.
“Pada tempoh percubaan akhir tahun 2019, saya menanam sebanyak 20,000 benih pokok nanas cobek dan pada Februari lepas saya berjaya menuai hasil pertama sebanyak dua tan yang diusahakan di atas tanah seluas dua hektar.
“Saya langsung tidak menyangka, percubaan saya itu mampu membuahkan hasil sehingga hasil tuaian pertama itu mampu memberi pulangan lumayan yang mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya ketika ditemui pemberita di kebun nanas miliknya yang dinamakan Daimler Goxvilla Pine, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Alida’em berkata, ekoran tanaman variasi ini belum meluas di pasaran menjadikan harga jualan nanas cobek agak tinggi di pasaran berbanding nanas biasa.
“Nanas cobek ini kebiasaannya mengambil masa seperti nanas biasa juga iaitu sekitar 12 hingga 18 bulan dan ia mampu dijual pada harga mencecah RM10 sekilogram bergantung kepada gred berbanding nanas biasa yang hanya dijual sekitar harga RM4 hingga RM5 sekilogram.
“Dari segi pasaran, saya hanya menjual di ladang dan pembeli akan datang ke ladang ini untuk memperoleh bekalan nanas cobek. Malah, dari segi penjagaannya juga ia tidak rumit memandangkan tanaman ini lasak dan tidak memerlukan air yang banyak dengan hanya sekali sekala perlu dibaja,” katanya.
Menceritakan mengenai idea mengusahakan nanas cobek itu, Mohd Alida’em berkata, beliau suka mencuba pelbagai variasi pertanian baharu di samping turut menanam nanas variasi MD2 sebanyak 50,000 pokok.
“Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang tanaman selain secara kebetulan mempunyai tanah terbiar milik sendiri seluas 10 hektar. Dari situ juga tercetus idea untuk mencuba tanaman variasi nanas yang boleh dimakan tanpa mengupas kulit ini.
“Malah, selepas bulan Ramadan ini juga saya berhasrat untuk mengembangkan lagi tanaman variasi nanas cobek dan MD2 ini serta memasarkannya secara lebih meluas," katanya yang turut menerima khidmat nasihat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi mendapatkan hasil terbaik dalam penanaman nanasnya itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!