Puasa terpilu tanpa ibu

Wakil LZS menyantuni Muhammad Akram semasa lawatannya ke rumah keluarganya di Gombak.
Wakil LZS menyantuni Muhammad Akram semasa lawatannya ke rumah keluarganya di Gombak.
A
A
A

GOMBAK - Seorang penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir berdepan ujian hidup apabila terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas ibunya terkorban dalam kemalangan dan bapanya pula masih terlantar di hospital selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu.

Muhammad Akram Zakaria, 21, berkata, lebih memilukan dia tidak dapat menatap wajah ibunya, Haslinah Ibrahim, buat kali terakhir kerana berada di Mesir dan tidak sempat pulang ke Malaysia.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu bapanya, Zakaria Mohamed, 50, bertembung dengan kenderaan lain ketika ibu dan adik lelakinya, Muhammad Imran Zakaria, 18, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Samudra di sini selepas makan malam.

“Seluruh jiwa saya kosong sebaik mengetahui ibu maut dalam kemalangan, lebih-lebih lagi semasa kejadian saya sedang menduduki peperiksaan,” katanya di sini.

Muhammad Akram, penuntut tahun dua jurusan Pengajian Islam (Bahasa Arab) berkata, dia hanya pulang ke Malaysia pada 12 Mac lalu.

Ujarnya, Ramadan tahun ini lebih terasa kehilangan apabila tidak dapat dirai bersama insan tersayang.

“Semasa tahun pertama menyambung pengajian di Mesir pada April 2019 memang terasa berpuasa tanpa ibu, tetapi hati saya bertambah pilu menyambut kedatangan Ramadan tanpa arwah ibu yang telah pergi buat selamanya.

“Biasanya, ibulah yang paling sibuk menyediakan juadah berbuka dan melayan kerenah kami sekeluarga, tetapi semua itu hanya tinggal kenangan,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Akram berkata, kehilangan ibunya itu amat dirasai dan menyifatkan Allahyarham Haslinah sebagai pendengar setia untuk berkongsi kisah suka dan duka.

“Saya akui memang rapat dengan arwah ibu dan di Mesir kami selalu berhubung rapat melalui panggilan telefon dan arwahlah tempat saya bersembang dan mengadu masalah,” jelasnya.

Muhammad Akram kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai perunding pengurusan pula tidak dapat keluar mencari rezeki akibat terlantar di sebuah hospital.

“Bapa pula terlantar dan dia tidak boleh berinteraksi seperti sediakala akibat daripada kemalangan itu.

“Rutin saya dan adik bongsu yang baru sahaja tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) bergilir-gilir menjaga ayah. Saya tekad tangguhkan pengajian selama setahun demi keluarga,” katanya.

Muhammad Akram berkata, dia bersyukur kerana kedua-dua keluarga sebelah ibu dan bapanya sentiasa memberi galakan serta sokongan termasuk bantuan kewangan.

“Pada masa sekarang, saya dan adik tinggal sementara di rumah nenek sebelah emak di Kampung Melayu, Batu Caves dan kadang-kadang pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, wakil Jabatan Pengurusan Pendidikan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut berkesempatan menziarahi Muhammad Akram pada Sabtu lalu.

LZS dalam kenyataannya memaklumkan, Muhammad Akram merupakan pelajar tajaan dermasiswa luar negara (Mesir) daripada LZS.

“Zakat Selangor telah meluluskan rayuan Muhammad Akram untuk tangguh pengajian di Mesir dan surat kelulusan diserah kepadanya sebagai bukti keperihatinan LZS atas musibah yang dilaluinya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!