Tonjolkan kisah wira antirasuah

Badlishah Sham Baharin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Badlishah Sham Baharin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

[WAWANCARA] Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, cara untuk menghapuskan rasuah di negara ini adalah dengan memperkasa ekonomi negara dan rakyat, selain mengukuhkan elemen pendidikan, penguatkuasaan dan kempen kesedaran.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, beliau menyatakan kebimbangan andai Malaysia terjerumus sebagai sebuah ‘negara yang gagal’ seperti yang dialami sesetengah negara di Afrika akibat gejala rasuah yang tidak terkawal.

Malaysia juga katanya, memerlukan lebih ramai wira antirasuah supaya cerita-cerita mereka dapat dijadikan idola dan teladan oleh khalayak.

Ikuti wawancara Sinar Ahad bersama Badlishah yang dikendalikan wartawan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah perbezaan antara jenayah rasuah dahulu dan sekarang?

BADLISHAH: Saya ingat perbezaan ketara rasuah zaman 1960-an, 70-an, hatta 80-an, ia tidak diinstitusikan, belum jadi rasuah berinstitusi. Rasuah berlaku, tapi mungkin hanya di peringkat individu atau terpisah-pisah. Ia bukan dibuat secara beramai-ramai atau secara kolektif.

Satu lagi, rasuah pada masa dahulu tidak melibatkan jumlah wang yang banyak. Kalau kita lihat dulu orang mengambil RM5, RM10 atau RM50. Tapi sekarang, kalau kita lihat jumlah wang yang terlibat dalam gejala rasuah ini telah meningkat ke berbilion ringgit.

Ini perbezaan yang ketara kerana rasuah sudah menjadi pandemik, satu virus yang menular dalam masyarakat dan ia telah menjadi satu budaya.

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja penguat kuasa mengambil rasuah tetapi di tempat yang mempunyai sedikit kuasa juga sudah mula berfikir untuk mengambil dan menerima rasuah. Budaya seperti ini semakin buruk dan ia boleh meruntuhkan negara.

Bagaimana dengan persepsi masyarakat Malaysia terhadap rasuah?

Saya lihat persepsi masyarakat ini terbahagi kepada beberapa kelompok. Ada kelompok berasa senang menerima rasuah kerana dengan cara itu kerja menjadi senang pada pandangan mereka.

Senang nak dapat lesen syarikat atau kilang dengan memberi rasuah, hatta hendak menubuhkan universiti swasta pun. Ada rakan-rakan saya yang mahu menubuhkan universiti swasta memberitahu, mereka diminta memberi rasuah kepada pegawai daripada kementerian.

Maknanya orang yang boleh membuat keputusan terlibat dalam gejala rasuah.

Tapi ada juga kumpulan yang tidak suka mengambil atau menerima rasuah. Contohnya, orang yang berpegang pada nilai-nilai agama, takut kepada seksaan ALLAH SWT pada hari akhirat. Satu lagi ialah golongan yang tidak kisah. Siapa yang nak ambil boleh, siapa yang tak nak terima pun boleh. Golongan ini tidak langsung tergerak hati untuk memerangi rasuah.

Mengapakah masalah rasuah sukar dibanteras di negara ini?

Saya berpendapat ia susah dibanteras kerana telah menjadi budaya dan menjadi salah satu proses dalam pekerjaan. Mahu mendapat lesen atau kelulusan sesuatu projek dan aktiviti kena sogok. Maknanya ia telah ke akar umbi dan menjadi salah satu proses.

Menerusi kempen Rasuah Busters kita mahu orang sedar dan melihat rasuah sebagai jijik, jadi ia tidak sepatutnya berada dalam proses serta perlu dikeluarkan daripada budaya pekerjaan, kelulusan permohonan, lesen dan sebagainya.

Apakah kesan buruk jika rasuah dibiarkan bermaharajalela?

Jika gejala rasuah tidak dibanteras, tidak dinyahkan daripada landskap negara, kesan buruknya ia boleh meruntuhkan negara. Ekonomi kita terjejas teruk akibat rasuah. Ini menyebabkan kos menjalankan perniagaan bertambah tinggi.

Orang yang mahu buat perniagaan di Malaysia terpaksa memberi sogokan, dan itu akan meningkatkan kosnya.

Badlishah (kiri) ketika diwawancara Sinar Ahad. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Badlishah (kiri) ketika diwawancara Sinar Ahad. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sudah tentu orang yang mahu melabur di negara kita akan mencari tempat lain yang kos menjalankan perniagaan lebih rendah. Jadi negara kita akan kerugian dari segi pelaburan luar dan pelaburan domestik.

Pertumbuhan ekonomi negara juga akan terjejas, maka akibatnya kurangnya peluang pekerjaan, kurangnya pendapatan dan orang akan merana.

Ini telah dapat kita lihat di negara-negara lain yang mengamalkan rasuah dengan begitu teruk sekali. Mereka menjadi negara yang gagal. Ini berlaku di benua Afrika dan tempat-tempat lain. Kita tidak mahu rakyat merana dalam situasi seperti ini. Kita hendak rakyat hidup selesa, senang-lenang, dengan kemuliaan dan penghormatan. Kita tidak mahu menjadi negara yang gagal.

Apakah kesan buruk lain khususnya kepada individu terlibat?

Rasuah akan memberi kesan kepada anak-anak dan cucu kita. Kita kena ingat dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda, ALLAH melaknat orang yang menerima dan memberi rasuah. Apa maksudnya? Kehidupan seseorang itu boleh merana dengan laknat ALLAH.

Bayangkan kita memberi hasil rasuah ini kepada anak-anak kita untuk makan, bersekolah dan menjalani kehidupan. Cuba kita bayangkan hasil yang haram ini, ia akan menumbuhkan yang haram juga.

Bukan itu sahaja, anak-anak, cucu-cucu yang telah disuap dengan makanan yang haram, pakaian yang haram, kemudahan yang haram ini akan memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka. Anak-anak juga tidak ‘menjadi’ sebab tidak ada berkat.

Kehidupan akan menjadi susah akhirnya. Senang dapat, senang pergi. Duit itu akan hilang macam itu sahaja. Kesusahan juga menimpa diri seperti kesihatan merudum, rumah tangga bermasalah, kereta bermasalah.

Apakah yang perlu dilakukan untuk menghapuskan rasuah ini?

Hadis Rasulullah SAW menggambarkan punca kepada segala masalah manusia adalah daripada hati. Kalau hati itu baik kata Rasulullah, maka baiklah keseluruhan badan itu. Tapi kalau hati itu buruk, maka buruklah seluruh badan tersebut.

Jadi, untuk membanteras rasuah, saya fikir salah satu perkara utama ialah pendidikan untuk menyedarkan orang ramai tentang buruknya rasuah ini kepada negara, masyarakat dan diri sendiri.

Pendidikan ini perlu bermula di akar umbi lagi, daripada kanak-kanak, di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Perlu ditanamkan nilai menolak atau melihat rasuah ini sebagai satu perkara yang jijik, yang kalau diamalkan boleh mencampakkan kita ke lembah kehinaan.

Satu lagi perkara penting ialah perlu ada role model, qudwah atau contoh kehidupan orang yang tidak mengamalkan rasuah. Bagaimana berkatnya dapat melahirkan anak-anak yang soleh, baik dan berjaya dalam kehidupan.

Ketiga, memberi peringatan berterusan tentang bahaya gejala rasuah ini. Ini boleh dilakukan oleh mereka yang pakar dalam bidang agama atau pakar dalam bidang sosial.

Keempat, perlu juga ada pengislahan struktur dalam negara untuk mengelak gejala rasuah ini. Untuk memudahkan kelulusan, memudahkan permohonan lesen, memudahkan permohonan membuka kilang, memudahkan untuk menjalankan perniagaan.

Kelima, yang saya rasa penting ialah menumbuhkan ekonomi kita kepada tahap yang lebih baik. Pertumbuhan ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada sumber asli seperti petroleum dan minyak sawit.

Jadi, perlu kita menambah sumber pendapatan atau enjin pertumbuhan ekonomi ini dalam bentuk ekonomi ‘gig’ atau teknologi tinggi. Perkara seperti ini perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Malaysia serta meningkatkan pendapatan.

Tahap pendapatan rakyat kita adalah rendah kerana kita masih lagi mengambil pekerja-pekerja yang berkemahiran rendah. Macam mana kita hendak memberi pendapatan yang tinggi kepada rakyat sedangkan masih wujud kelompok pekerja terutamanya pekerja asing yang boleh bekerja dengan gaji yang rendah?

Tentunya majikan tidak mahu memberi gaji yang tinggi kepada satu bahagian kelompok pekerja sedangkan dia boleh ambil pekerja yang boleh dibayar gaji rendah untuk melakukan kerja yang sama.

Tidak adakah wira antirasuah di negara ini yang boleh dijadikan contoh?

Memang ada tapi tidak menonjol. Saya tahu rakan-rakan saya di dunia korporat memang tidak menerima rasuah ini. Contohnya ada rakan saya yang pernah bekerja dengan kerajaan. Dia merupakan orang yang boleh meluluskan permohonan Certificate of Fitness (CF) untuk kilang. Pernah terjadi satu insiden dia disogok wang sebanyak RM1 juta supaya luluskan CF kepada kilang yang tidak menepati spesifikasi. Tapi kawan saya ini dengan izin ALLAH SWT, dia tolak beg berisi wang tunai itu. Orang seperti ini ada. Saya juga ada seorang rakan yang menjadi pengerusi sebuah IPT swasta. Dia ditawarkan supaya membayar RM1 juta kepada pegawai kementerian sekiranya mahu kolej universitinya mahu diiktiraf sebagai universiti penuh. Tapi dia tolak, katanya ini tidak bermoral walaupun dia mempunyai wang untuk berbuat demikian. Cerita-cerita seperti ini perlu ditonjolkan oleh media supaya role model seperti ini yang menolak rasuah dan perbuatan yang tidak bermoral.

Bagaimanakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat diperkasakan untuk menjadi badan yang dapat menguatkuasakan undang-undang tanpa diganggu oleh sesiapa?

Pada saya SPRM ini agensi penguat kuasa yang penting dalam memerangi rasuah. Ia sepatutnya menjadi satu badan bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen. Maknanya ia bukan bertanggungjawab kepada kerajaan sebab mungkin boleh berlaku penyelewengan atau campur tangan oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.

Jika SPRM ini bertanggungjawab kepada Parlimen, ia bertanggungjawab kepada mereka yang dipilih oleh rakyat. Maknanya dari satu segi, SPRM ini bertanggungjawab kepada rakyat. Itu yang kita mahu. SPRM boleh melakukan tanggungjawabnya tanpa ada apa-apa campur tangan daripada pihak politik atau pihak berkepentingan lain bertujuan memanipulasi siasatan atau menyekat SPRM daripada melakukan siasatan.

SPRM pada saya telah melakukan kerja yang baik setakat ini. Jika hendak lebih perkasakannya, berikan SPRM bajet yang sesuai. Buat masa ini saya difahamkan mereka hanya ada lebih kurang 1,800 pegawai siasatan di seluruh negara.

Dengan pasukan yang kecil ini, ia tidak dapat menjalankan siasatan yang lebih meluas atau melihat lebih banyak kes. Saya sokong jika SPRM diberikan bajet yang lebih banyak dan meningkatkan bilangan pegawainya sekali gus dapat menjalankan siasatan yang lebih telus dan berkesan.

Rasuah Busters satu gerakan sosial

Kami di Gabungan Bertindak Malaysia atau GBM menyokong kempen Rasuah Busters yang dipelopori oleh Datuk Hussamuddin Yaacub daripada Karangkraf. Kami menyokongnya kerana melihat perbezaan kempen itu yang boleh menjadi gerakan sosial. Kalau dulu mungkin kempen memerangi rasuah ini dilakukan secara terpisah-pisah oleh badan-badan masyarakat tertentu sahaja. Tidak ada satu gabungan usaha yang lebih konkrit untuk memerangi rasuah.

Tetapi kempen Rasuah Busters ini memberi nafas baharu. Kita harap ini akan menjadi gerakan sosial untuk memerangi rasuah dan akhirnya membawa kepada reformasi nilai dalam masyarakat.

Nilai seperti kejujuran, integriti, akhlak mulia, membenci rasuah, mahukan Malaysia menjadi baik, makmur, progresif dan maju. Kita hendak ini berlaku. Itu sebab kita sokong kempen Rasuah Busters ini.

Matlamatnya adalah hendak menjadikan Malaysia bersatu padu, harmoni dan juga maju. Kami di GBM dianggotai oleh 27 persatuan masyarakat madani yakin kalau perkara ini dapat dilakukan iaitu perubahan nilai masyarakat dan berlakunya gerakan sosial, maka Malaysia akan menjadi sebuah negara yang baik.

Masyarakat akan menjadi bangga dengan Malaysia dan akan berasa selesa untuk hidup dalam negara yang makmur, bebas daripada rasuah dan dapat menikmati kualiti hidup yang tinggi.

Masih ingat pesan arwah bapa

Mungkin satu perkara yang menjadi ingatan kepada saya sampai sekarang ialah pesanan arwah bapa saya. Arwah bapa saya seorang pembantu hospital. Dia pernah berpesan kepada saya “kau jangan masuk dalam pekerjaan yang boleh kau libatkan diri mengambil wang haram”. Ini dia sebut kepada saya sewaktu kecil lagi.

Dia kata kepada saya, wang haram ini boleh memberi kesan kepada anak cucunya. Dia tak nak cucunya merana kerana saya sebagai bapa terlibat dalam wang haram. Saya ingat pesanan itu sampai sekarang.

Maknanya awal-awal lagi arwah bapa saya mahu tanamkan pemikiran agar lakukan kerja yang bersih dan halal walaupun gaji kecil. Jangan ambil wang haram dan rasuah supaya tidak merana dan hidup sentiasa diberkati oleh ALLAH.

PROFIL

Badlishah Sham Baharin

Umur: 62 tahun

Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Kerjaya: Perunding Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

Pendidikan

Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia daripada University of Leeds, UK

Sarjana Kejuruteraan Biokimia daripada University of Manchester, UK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!