Mempolitikkan pandemik Covid-19
SETELAH lebih setahun berhadapan pandemik Covid-19, Malaysia dan seluruh dunia masih bergelut mengawal penularan dan memulihkan ekonomi.
Keadaan Malaysia lebih sukar kerana kerajaan demokrasi ini sangat tidak stabil dan berhadapan pelbagai kelompok ahli politik yang mengambil kesempatan.
Di pihak parti kerajaan ada yang mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kuasa, manakala bagi parti pembangkang dan parti dua alam (kerajaan dan pembangkang serentak) mereka mengambil kesempatan menjatuhkan kerajaan.
Jika darurat tidak diisytiharkan, kerajaan ini mungkin telah jatuh. Ia akan mengakibatkan perubahan kepimpinan negara yang baharu, pelantikan kabinet baharu, polisi baharu dan idea baharu.
Pandemik sesuatu yang baharu dan luar biasa. Jika keseluruhan jentera utama kerajaan bertukar orang, bermakna kita membuang pengalaman selama 12 bulan lalu untuk menggantikan dengan sekumpulan ahli politik baharu yang akan belajar semula menguruskan negara dalam krisis ini.
Demikianlah kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Proklamasi Darurat. Hari ini mempolitikkan pandemik adalah kerja paling senang. Rakyat yang tertekan dengan beban ekonomi, pelbagai peraturan dan denda pematuhan SOP serta sekatan perjalanan memudahkan mereka diapi-apikan.
Sudah tentu mendengar cakap politik mereka di luar kerajaan sangat sedap. Mereka bercakap mengenai yang rakyat mahu dengar, bukan apa yang sewajarnya dibuat untuk rakyat dan negara. Ia sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Rakyat dijanjikan ada pilihan lebih baik, namun kita sudah tahu apa yang terjadi selepas PRU14.
HARI ini watak-watak berubah posisi namun cara berpolitik masih sama. Mantera yang popular sekarang adalah kerajaan gagal mengawal pandemik biarpun telah mengisytiharkan darurat dan proses vaksinasi terlalu perlahan serta gagal.
Realitinya, negara lebih maju, berdisiplin dan cekap mengawal penularan pandemik seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan juga telah menunjukkan peningkatan semula kes jangkitan.
Banyak yang salah faham dengan proses vaksinasi kebangsaan sebagai lembab dan mahukan kerajaan membenarkan pihak swasta menawarkan fasiliti sama.
Kekangan mendapatkan vaksin kerana pengeluar vaksin tidak mampu memenuhi permintaan semua negara secara serentak. Justeru agihan vaksin dibuat berdasarkan sumbangan kepada penyelidikan awal dan populasi sesebuah negara. Negara yang menyumbang berbilion ringgit dalam penyelidikan seperti Jerman dan Amerika Syarikat mendapat lebih keutamaan.
Membenarkan pihak swasta berunding terus dengan pengeluar vaksin akan meningkatkan kos dan mengurangkan bekalan kepada kerajaan. Ia akan menyebabkan usaha kerajaan memvaksin semua rakyat mengikut keutamaan, bukan kekayaan akan gagal.
Hari ini Malaysia telah berjaya memvaksinkan hampir 500,000 ribu orang. Jepun pula baru memvaksinkan 1.5 juta rakyat berbanding lebih 100 juta penduduk. Di Indonesia, 3.3 juta orang telah menerima vaksin (271 juta orang penduduk) dan China, negara pengeluar beberapa jenis vaksin Covid-19, baru memvaksin 10 peratus daripada jumlah populasinya.
Justeru, tanggapan kerajaan boleh mempercepatkan vaksin untuk rakyat adalah sesuatu yang mustahil kerana bukan sahaja Malaysia, negara-negara lain juga terpaksa menerima jumlah yang rendah daripada permintaan kerana pengeluaran tidak mencukupi.
Apa yang kita boleh lakukan adalah bermusahabah diri betapa setahun lalu kita melihat dunia ini tanpa harapan dan masa depan. Berminggu-minggu berkurung, ada yang kehilangan kerja, perniagaan dan simpanan.
Hari ini kita telah sedikit demi sedikit pemulihan ekonomi diri dan negara. Sekatan perjalanan makin dilonggarkan, penularan masih terkawal.
Bersabarlah, kesan pandemik memerlukan masa untuk pulih. Tidak mungkin sesiapa ada tongkat ajaib yang boleh memulihkannya sekelip mata.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!