Harga ayam tinggi: KPDNHEP keluar dua notis kepada pembekal

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan dua notis terhadap pembekal ayam mentah yang mengenakan harga tinggi, pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, notis itu bertujuan mendapatkan punca kenaikan harga yang berlaku ketika ini sebelum tindakan dikenakan terhadap mereka jika dengan sewenang-wenangnya berlaku kenaikan tidak munasabah.

“Kita akan kawal mengikut punca kuasa diberikan kepada kementerian berdasarkan situasi dan pasaran seperti kebiasaan dilaksanakan iaitu melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi memastikan majoriti rakyat dapat menikmati harga terbaik.

“Ayam lazimnya adalah barangan yang sentiasa tersenarai dalam SHMMP,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kenaikan harga ayam proses dengan mendadak sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak awal Ramadan selepas pihak pembekal dan peladang ayam mengenakan harga yang agak tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pengguna supaya memanfaatkan aplikasi ‘price catcher' bagi menyemak harga barang termasuk kedai yang menawarkan pilihan harga terbaik.

Menurutnya, aplikasi itu mampu menjimatkan masa dan kos selain pengguna dapat membuat perbandingan harga antara premis yang berlainan berikutan ia memaparkan maklumat harga barangan secara harian, mingguan dan bulanan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan, Khairuldin Yunus berkata, pihak yang terlibat perlu mengumumkan skim kawalan harga dengan segera bagi mengelak ada pihak yang mengambil kesempatan dan tidak terhad pada musim perayaan sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kita masih belum menerima aduan berlaku kenaikan harga ayam daripada penduduk, mungkin mereka pun malas nak mengadu, bagaimanapun, kerajaan perlu pantau kenaikan itu supaya tidak membebankan pengguna dalam keadaan tidak menentu sekarang ini,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Harga ayam naik lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!