Dicekup ketika leka berpesta Songkran
BUKIT MERTAJAM - Seramai 20 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar ditahan ketika sedang berseronok dalam 'pesta Songkran' yang dianjurkan oleh mereka di sebuah rumah di Taman Bidara, di sini pada jam 2.30 petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menyerbu kediaman itu selepas menerima aduan orang awam berhubung perkara itu.
Menurutnya, ketika tiba di rumah tersebut, didapati 20 lelaki dan seorang wanita Myanmar sedang berkumpul di pekarangan rumah tersebut sambil membuat bising.
"Mereka didapati menari mengikut rentak muzik sambil bermain semburan air menggunakan paip getah tanpa mengamalkan penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka.
"Apabila menyedari kehadiran anggota polis, mereka cuba melarikan diri namun gagal apabila semuanya berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Shafee berkata, ketika pemeriksaan, salah seorang daripada mereka didapati sedang mabuk dan enggan memberi kerjasama kepada anggota polis bertugas.
"Lelaki tersebut telah menolak dan meninggikan suaranya terhadap anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan. Dia juga enggan memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri.
"Kesemua mereka ditahan kerana gagal memberikan alasan yang munasabah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!