TNB terbuka adakan perbincangan dengan pihak berkepentingan
KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam semua projek pembangunannya.
Menurut kenyataan TNB pada Ahad, justeru satu sesi libat urus anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai pelaksanaan projek empangan hidro di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan diadakan bagi merungkai kegusaran kesan pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.
Kenyataan itu memetik Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti sebagai berkata, TNB komited memastikan komuniti orang asli yang terkesan dengan pembangunan itu bakal mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya sehingga ia siap sepenuhnya serta beroperasi kelak.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan Suhakam berpuas hati dengan penerangan terperinci TNB dalam sesi libat urus itu yang diadakan selama tiga jam pada 7 April di Kuala Lipis, Pahang.
Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi libat urus itu berkata, komuniti orang asli yang terkesan dan terlibat dengan projek itu diberi peluang untuk membangkitkan sebarang pertanyaan serta kemusykilan mengenainya.
“Kami mementingkan perkongsian maklumat dengan penuh keterbukaan di samping mencari cara lebih mesra yang dapat mengimbangi semua tuntutan hak pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
Sesi libat urus berkenaan bertujuan memberi penerangan status semasa projek serta manfaat kepada penduduk Kelantan dan komuniti orang asli di tiga perkampungan (Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias) yang terkesan secara langsung dengan projek itu.
Ia dihadiri empat anggota Suhakam, enam pemimpin komuniti orang asli di tapak projek empangan hidro, 11 orang daripada kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan serta pegawai-pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Daerah Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan TNB.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Tohoi, Ajeh Baharom berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro itu dapat disegerakan kerana penduduk di ketiga-tiga perkampungan orang ali yang terlibat telah menunggu lapan tahun untuk ia dibangunkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!