Tiga 'ubi muda' Yusri pamer peningkatan ketara
SKUAD Projek FAM-MSN telah mengenal pasti tiga pemain yang menunjukkan peningkatan ketara dalam bola sepak dan setanding dengan pemain Liga Premier yang lain.
Namun, ketua jurulatih skuad itu Yusri Che Lah enggan mendedahkan nama tiga pemain berkenaan kerana gusar mereka akan hilang fokus kerana memikirkan sudah berjaya.
“Biar ini antara saya dengan pemain dan saya harap tiga pemain itu akan meneruskan peningkatan dan pemain lain mengikuti prestasi yang ditunjukkan mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Kelantan United FC.
Walaupun tewas 0-3 di laman sendiri dalam aksi Liga Premier itu, Yusri berkata, beliau berbangga dan kagum dengan barisan pemainnya yang berusia antara 17 hingga 20 tahun bermain pada bulan Ramadan buat pertama kali.
Beliau berkata, skuad bimbingannya itu memerlukan masa antara tiga hingga enam bulan ataupun setahun untuk menonjol.
Menafikan pemainnya berada dalam keadaan tertekan pada perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu, Yusri berkata, pemain perlu keluar daripada kotak pemikiran sendiri dan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan liga yang masih berbaki 11 perlawanan lagi.
“Semua pasukan akan terus memberi tekanan dari awal hingga akhir kerana pihak lawan perlukan jaringan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!