'Hati boleh panas, tapi lidah biar dingin'
SHAH ALAM - Polis mengingatkan semua masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya memberi sebarang kenyataan atau perkataan yang boleh menyinggung sensitiviti bangsa atau agama.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk mengambil sebarang tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak menghormati bangsa mahu pun agama lain.
"Kita sentiasa pantau berkenaan isu sedemikian dan berharap orang ramai lebih bertenang dan tidak mengambil undang-undang di tangan mereka sendiri.
"Saya ambil peluang ini agar semua pihak lebih berhati-hati. Hati boleh panas, tapi lidah biar dingin agar tidak melukai orang lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Ahad.
Arjunaidi berkata, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak seharusnya lebih matang dan faham tentang sentimen sensitiviti bangsa serta agama.
Justeru, pihaknya meminta semua pihak dapat memberi kerjasama agar tindakan dapat diambil dengan tegas.
"Terlajak kata bawa padah. Kita ada undang-undang dan peraturan yang ada," katanya.
Pada Selasa lalu media melaporkan insiden dua pengawal peribadi dipukul dan diacukan pistol oleh majikannya kerana berpuasa.
Kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa
ARTIKEL BERKAITAN: Pukul pekerja berpuasa: Polis dalam proses sita harta suspek
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!