Terkena renjatan elektrik ketika alih zink di landasan kereta api

Gambar Mohd Yasin yang dikongsi ahli keluarga memaklumkan mangsa kini stabil dan sudah sedarkan diri di ICU HRPB Ipoh.
Gambar kecil: Zink yang bertaburan dan tersangkut pada kabel serta landasan kereta api bersebelahan rumah Hatiah di Kampung Tasek, Ipoh dalam kejadian ribut pada Rabu lalu.
Gambar Mohd Yasin yang dikongsi ahli keluarga memaklumkan mangsa kini stabil dan sudah sedarkan diri di ICU HRPB Ipoh. Gambar kecil: Zink yang bertaburan dan tersangkut pada kabel serta landasan kereta api bersebelahan rumah Hatiah di Kampung Tasek, Ipoh dalam kejadian ribut pada Rabu lalu.
A
A
A

IPOH - "Dia hanya sempat alihkan satu keping zink, sebelum jatuh pengsan terkena renjatan elektrik," kata Hatiah Mat Piah, 70, ibu kepada seorang lelaki yang cedera ketika cuba mengalihkan zink bertaburan di landasan kereta api dalam kejadian ribut di Kampung Tasek, Bercham di sini pada Rabu lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, Mohd Yasin Samsudin, 35, melecur hampir 60 peratus di beberapa bahagian badan termasuk tangan, dada, paha dan leher.

Hatiah berkata, dalam keadaan hujan lebat dan ribut itu, hampir keseluruhan bumbung rumahnya tercabut dan diterbangkan angin sehingga sebahagiannya tersangkut pada kabel dan landasan kereta api yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Menurutnya, bimbang zink yang berselerakan mengganggu perjalanan kereta api, anaknya itu meredah hujan menuju ke kawasan landasan untuk menarik keluar zink-zink berkenaan.

"Dia ada beritahu yang kereta api nak lalu 10 minit lagi, jadi bahaya kalau terkena zink. Sebab itu dia pergi ke landasan dan nak alihkan semua serpihan yang ada.

"Entah macam mana, baru tarik keluar satu zink, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Mujurlah abangnya nampak dan segera kendong bawa dia ke rumah," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Hatiah berkata, kecederaan dialami anaknya ketika itu agak teruk, namun mujur pasukan penyelamat yang tiba bagi memantau kejadian ribut membantu dan membawanya ke hospital.

Katanya, anaknya itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil bagaimanapun masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Hatiah (kiri) menerima kunjungan Saarani di rumahnya di Kampung Tasek, Ipoh pada Ahad.
Hatiah (kiri) menerima kunjungan Saarani di rumahnya di Kampung Tasek, Ipoh pada Ahad.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dia terselamat. Pada mulanya marah juga kerana dia telah membahayakan diri tetapi saya faham niatnya itu baik kerana bimbangkan keselamatan penumpang kereta api," katanya.

Beliau berkata, kejadian ribut yang melanda ketika umat Islam menjalani hari kedua ibadah puasa itu adalah pertama kali berlaku sejak mendiami kampung berkenaan 46 tahun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya berusia 80 tahun bersama anak lelaki sulung berusia 37 tahun turut berada di rumah dan dia baru sahaja bercadang memasak nasi untuk menyediakan juadah berbuka.

"Bukan setakat bumbung tercabut, ada sebahagian dinding juga runtuh, lantai rumah pula habis basah kena hujan.

"Buat sementara waktu, saya dan suami menumpang dahulu di rumah anak. Nanti bila rumah bumbung sudah dibaiki, barulah kami balik mengemas apa yang patut," katanya.

Hatiah terdahulu menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mengadakan lawatan kerja dan menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa terjejas.

Kejadian disebabkan hujan lebat berterusan selama hampir dua jam yang turut disusuli angin kencang itu telah mengakibatkan sebanyak 127 rumah terjejas selain lebih 20 pokok besar tumbang menghalangi lalu lintas dan menimpa struktur rumah penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak salur RM200,000 baik pulih rumah mangsa ribut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!