ADUN minta pihak berwajib pantau aktiviti pemburuan lutung

Juwairiya
Juwairiya
A
A
A

KUALA SELANGOR - Aktiviti pemburuan lutung secara haram di Bukit Melawati perlu diberikan perhatian yang serius bagi menjamin populasi haiwan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, langkah itu perlu diambil susulan aduan orang awam yang diterima pihaknya pada 15 April lalu berhubung cubaan pemburuan haiwan berkenaan secara haram di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, bagaimanapun cubaan pihak terlibat berjaya digagalkan hasil tindakan pantas pengunjung yang menyedarinya.

"Aktiviti pemburuan haram ini didorong oleh permintaan anak lutung yang tinggi untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan eksotik.

"Isu ini sekali gus mendorong kepada kepupusan spesis terancam ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, pihaknya amat kecewa dan berdukacita dengan tindakan pemburuan haram itu memandangkan lutung diklasifikasikan sebagai haiwan terancam oleh World Wildlife Fund (WWF).

Katanya, Jabatan Perhilitan Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) perlu melakukan pemantauan dan mengambil tindakan lebih efektif dalam melindungi haiwan terancam ini.

"Dianggarkan sekitar hanya 3,000 ekor lutung terdapat di Pantai Barat Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!