Buah kabung laris ketika Ramadan
BERA - Buah kabung atau enau antara menu yang mendapat permintaan tinggi dan laris sepanjang Ramadan.
Peniaga, Mariati Mohd Jailani, 40, dari Kampung Durian Tawar, di sini memberitahu, buah tersebut mendapat permintaan tinggi pelanggan sehinggakan beliau terpaksa menolak banyak tempahan.
"Permintaan melebihi bekalan yang ada. Saya dan suami, Shaharul Nizam Shamsudin, 40, mencari buah ini di dalam hutan atau kampung hingga dua tan untuk diproses sebelum dijual di gerai.
"Memang permintaan tinggi bila bulan puasa dan jika bulan-bulan lain baru kami dapat penuhi tempahan terutamanya untuk gerai-gerai yang menggunakan buah ini," katanya pada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Buah kabung atau nama saintifiknya, arenga pinnata dikatakan memiliki khasiatnya tersendiri untuk merawat sakit lutut selain dapat menyejukkan badan selain digunakan dalam kuih-muih dan minuman.
Ujar Mariati lagi, beliau mampu RM300 sehari hasil menjual buah tersebut yang kini menjadi sumber pendapatan keluarganya.
"Saya dan suami telah mencari dan menjual buah ini sejak sembilan tahun lalu.
"Selepas diproses, ia dijual dengan harga RM4 sebungkus dan tiga bungkus dengan harga RM10 untuk perisa manis dan tawar," ujarnya lagi.
Jelasnya, buah kabung yang diprosesnya mendapat permintaan kerana ia dibuat tanpa sebarang pengawet.
"Ada yang letak tawas supaya ia nampak berkilat dan tahan lama tetapi saya tidak menggunakan pengawet dan jika mahu tahan lama serta tidak masam kena simpan di dalam peti ais," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!