Pelakon video iklan judi cuma dibayar RM200
PUTRAJAYA - Polis mendedahkan pelakon dua video iklan raya yang mempromosikan judi dalam talian yang tular di media sosial hanya dibayar RM200 seorang.
Timbalan Pengarah (Risikan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, menerusi siasatan awal, pihaknya mendapati setiap pelakon yang terlibat dibayar gaji RM180 dengan tambahan RM20 duit minyak kenderaan.
Katanya, siasatan yang dilakukan terhadap dua video itu juga membawa kepada 13 tangkapan membabitkan sembilan tangkapan bagi kes pertama dan empat tangkapan bagi kes kedua yang melibatkan pelakon, penerbit dan kru.
"Menerusi tangkapan pertama, kita dapati penerbit dan pekerja turut terlibat untuk pembikinan video yang kedua. Kedua-dua video itu adalah dari syarikat produksi yang sama.
"Kita akan mengesan sindiket yang menggajikan syarikat produksi itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkaitan tindakan kementerian terhadap iklan promosi judi bertemakan Aidilfitri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Dua video mempromosikan judi itu tular di media sosial masing-masing pada Jumaat dan Sabtu hingga ia mencetuskan kegusaran awam.
Dev berkata, tangkapan ke atas semua suspek dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan perjudian.
ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi
Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu
[DIKEMAS KINI] Lagi iklan raya promosi judi disiasat
Sementara itu, Saifuddin berkata, tumpuan terhadap kes itu setakat ini diberikan terhadap siasatan menyeluruh kes itu yang dilakukan pihak polis.
Menurutnya, video berunsur judi yang tular itu bukan sahaja mengganggu ketenangan umat Islam yang berpuasa malahan orang bukan Islam.
Justeru katanya, kerajaan tidak mahu selepas ini perkara sama berlaku pada perayaan lain seperti semasa Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas.
"Rakyat Malaysia berpegang kepada rukun negara termasuk prinsip kepercayaan kepada tuhan.
"Mereka faham tentang unsur judi ini dan dan tak mahu perkara ini tular di media sosial," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Iklan promosi judi: SKMM ambil tindakan tegas
'Sindiket judi online cuba hidup kembali'
Polis tahan empat pelakon video kedua iklan judi online
Sehubungan itu, beliau meminta pelakon di negara agar lebih berhati-hati apabila menerima tawaran agar kejadian sama tidak berulang.
Katanya, industri seni negara ketika ini tidak kekeringan tawaran kerja sama ada untuk drama, filem dan sebagainya terutama sejak awal Januari lalu.
"Memang mula-mula penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu tidak ada sebarang penggambaran atau persembahan dibenarkan.
"Tapi sejak awal tahun ini, banyak tawaran kerja sudah mula keluar sebagai contoh sekarang ada program nyanyian dari rumah dan sebagainya. Aktiviti penggambaran juga banyak dan kita juga sentiasa jaga kebajikan artis sebab itu ada program ziarah Finas," katanya.
Mengakui perkara itu, Dr Ahmad Idham berkata, lebih 200 sijil perakuan penggambaran dikeluarkan selepas PKP 2.0 lalu.
"Ini bermakna ketika ini terdapat lebih 200 syarikat produksi sedang berlegar melakukan penggambaran di luar sana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!