Permohonan turunkan video judi raya mungkin tak dipenuhi 100 peratus

Fadhlullah Suhaimi
Fadhlullah Suhaimi
A
A
A

PUTRAJAYA - Walaupun kerajaan sudah meminta penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan video iklan raya mempromosi judi di platform mereka, permohonan itu mungkin tidak 100 peratus dipenuhi.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, ia kerana platform itu berpangkalan di luar negara dan mungkin berpegang pada nilai yang berbeza dengan rakyat Malaysia.

"Apa yang tidak baik bagi kita, bagi dia mungkin tidak ada masalah.

"Jadi kita tak boleh jangka 100 peratus (permohonan kita dipenuhi) sebab mungkin orang ingat apabila kita memohon, mereka akan turunkan. Sebenarnya tidak (begitu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan kes dua video mempromosi judi di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Fadhlullah berkata, pihaknya akan terus berusaha agar kandungan video itu diturunkan di semua platform berkenaan.

Katanya, setakat ini angka kandungan yang telah diturunkan pemegang platform media masih seperti angka pada Sabtu iaitu pada kadar 13 peratus daripada 61 kandungan video.

"Kita dapati 61 kandungan iaitu dua video itu dinaikkan di platform berbeza iaitu Facebook, Twitter dan YouTube," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini dua video iklan promosi judi bertemakan Aidilfitri tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi

PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online

Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!