Pengunjung bazar Ramadan tidak senang ditegur
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendedahkan masih ada segelintir pengunjung bazar Ramadan yang berasa tidak senang apabila ditegur gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, dianggarkan kira-kira 30 peratus pengunjung di 28 bazar Ramadan di sini dikesan masih gagal mematuhi SOP.
Menurutnya, penguat kuasa MBI menggunakan pendekatan tegur dan nasihat terlebih dahulu berbanding mengeluarkan kompaun meskipun agensi itu boleh berbuat demikian.
"Ada dalam kalangan pengunjung apabila kita bertegas, respons dia agak kurang berpuas hati. Kita tetap nasihatkan agar mereka terus mematuhi SOP.
"Jika gagal kita khuatir kerajaan akan bertindak membatalkan bazar Ramadan pula. Bagaimanapun, tiada pelanggaran SOP dikesan dalam kalangan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Tabung Bantuan Bencana kepada mangsa terjejas akibat ribut di gelanggang futsal berbumbung Kampung Tasek di sini yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad di sini pada Ahad.
Rumaizi berkata, enam penguat kuasa ditambah di bazar Ramadan Stadium Perak, Medan Gopeng dan Taman Cempaka sebagai langkah mempertingkatkan kawalan dan kadar pematuhan SOP.
“Di setiap laluan masuk, kita memang ada menempatkan anggota penguat kuasa. Kini dengan penambahan anggota, kita menempatkan mereka untuk mengawal keadaan di sekeliling bazar.
“Ia bagi memastikan tiada pengunjung yang cuba untuk masuk ke bazar Ramadan tanpa melalui laluan yang ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!