KPDNHEP Selangor keluar 267 notis peniaga naik harga jualan
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sehingga Sabtu telah mengeluarkan 267 notis kepada peniaga yang dikesan menaikkan harga jualan barangan terutama apabila menjelang musim perayaan.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil maklum balas peniaga terhadap notis yang dikeluarkan mendapati satu daripadanya memerlukan proses siasatan lanjut pihaknya.
“Satu notis memerlukan proses siasatan lanjut berikutan kita mengesyaki berlaku pengambilan keuntungan berlebihan melalui analisis awal yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Muhammad Zikril Azan berkata, pihaknya juga menerima sejumlah 114 aduan berkaitan kenaikan dan penandaan harga serta kesukaran mendapatkan barangan keperluan bermula 1 Januari lepas hingga semalam.
“Tindakan ke atas aduan yang diterima berkaitan harga barangan diberi keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zikril Azan berkata, sebanyak 11 kes melibatkan kesalahan penandaan harga hingga Sabtu direkodkan pihaknya susulan Ops Pantau yang sedang dijalankan di seluruh negeri bermula April ini hingga bulan depan.
“KPDNHEP Selangor telah menjalankan pemeriksaan ke atas 4,064 premis serta gerai jualan dan mendapati terdapat segelintir peniaga yang masih ingkar dalam membuat penandaan harga ke atas barangan jualan terutamanya di bazar serta pasar awam,” katanya.
Beliau berkata, pengguna di Selangor yang ingin menyalurkan aduan berhubung harga dan barang keperluan boleh melayari portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi pusat panggilan 1800 886 800 atau WhatsApp 019- 279 4317. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!