Tuchel gembira Chelsea menang
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel nyata gembira dengan kemenangan 1-0 skuad kendaliannya ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada aksi separuh akhir Piala FA, pada awal pagi Ahad.
Menurut Tuchel, kemenangan berkenaan secara keseluruhannya menggambarkan kesungguhan pemain yang mahu memastikan The Blues berada di pentas final dan sekali gus mencerahkan peluang beraksi di pentas Eropah musim depan.
“Bagi saya, ia satu kemenangan yang hebat. Satu persembahan yang cukup bertenaga daripada pemain dan ia membuatkan saya sungguh gembira dan berbangga.
“Bagi tempoh 35 minit pertama, kami beraksi cemerlang biarpun melalui kesukaran dalam tempoh 10 minit.
“Tempoh 30 minit seterusnya, kami kembali bangkit selain berjaya menjaringkan gol dan hampir menjaringkan satu lagi gol.
“Secara keseluruhannya, aksi kami hari ini sungguh menakjubkan dan membuatkan saya cukup berbangga dengan pasukan saya dan berharap ia berterusan begitu,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Ziyad Mahrez menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-55, untuk mengesahkan kemenangan Chelsea.
Ia sekali gus meranapkan impian City untuk menyapu bersih empat piala musim ini melibatkan Piala FA, Piala Liga, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara.
Sementara itu, Tuchel turut memberikan kredit kepada benteng pertahanan The Blues yang dilihat berjaya mengekang asakan-asakan daripada jentera serangan City.
Katanya, kekentalan benteng pertahanan juga dilihat telah berjaya memastikan pintu gol Chelsea tidak dibolosi kali ini.
“Kami bukan bernasib apabila pintu gol kami tidak dibocori. Ia adalah hasil kerja keras kami di sepanjang perlawanan.
“Apa pun, ia satu perasaan yang hebat apabila menewaskan pasukan terbaik di Eropah ketika ini.
“Memang sukar untuk menewaskan City, tetapi hasil semangat yang berkobar-kobar, kami berjaya melakukannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!