Korban Covid-19 lepasi angka tiga juta
PARIS - Jumlah kematian akibat Covid-19 melepasi angka tiga juta pada Sabtu walaupun kempen vaksinasi peringkat global sedang dilancarkan secara meluas.
Menurut data AFP, lebih 12,000 kematian global direkodkan secara purata pada setiap hari sejak minggu lalu selepas krisis wabak itu semakin meruncing di beberapa negara seperti India, Brazil dan Perancis.
Sebagai perbandingan, angka tiga juta itu dikatakan melebihi populasi di Jamaica atau Armenia dan tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah korban perang Iran-Iraq pada tahun 1980-1988.
Sejak lebih sebulan lalu, lebih 10,000 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada setiap hari dan ia dikatakan menyamai jumlah kira-kira 10,000 kanak-kanak yang mati kerana kebuluran di seluruh dunia.
Pada Januari lalu, angka korban pandemik itu mencecah dua juta orang ketika program imunisasi Covid-19 baru dilancarkan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam tempoh kira-kira tiga bulan, jumlah kematian tersebut meningkat kepada sejuta orang lagi ketika kempen vaksinasi dilancarkan di lebih 190 negara dengan tahap perkembangan dan keberkesanan yang berbeza sebagai usaha mengawal penularan wabak tersebut.
Ancaman pandemik itu yang masih tinggi menyaksikan hampir 830,000 kes jangkitan baharu dilaporkan di seluruh dunia pada Jumaat yang merupakan angka tertinggi pernah dicatatkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan global mencecah 140.7 juta kes.
Ketika ini, India yang kembali melaksanakan langkah 'lockdown' di beberapa bandar utama di ibu negara pada Sabtu selepas ia merekodkan kes jangkitan harian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding AS yang kekal berada di tangga teratas negara paling terus terjejas pandemik itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!