'Navalny boleh mati pada bila-bila masa'

Navalny kini meringkuk di dalam penjara koloni selepas disabit bersalah dengan tuduhan penggelapan wang di bawah kes yang dikemukakan pada 2014. - Foto Agensi
Navalny kini meringkuk di dalam penjara koloni selepas disabit bersalah dengan tuduhan penggelapan wang di bawah kes yang dikemukakan pada 2014. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Pengkritik Kremlin, Alexei Navalny berisiko mengalami serangan jantung berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Amaran itu diberikan doktor peribadi beliau, Anastasia Vasilyeva pada Sabtu dan turut menggesa rawatan segera diberikan kepadanya yang kini sedang menjalani hukuman penjara dua tahun setengah di sebuah penjara koloni di luar Moscow.

Tiga doktor lain termasuk pakar kardiologi, Yaroslav Ashikhmin juga membuat gesaan sama meminta pegawai penjara memberikan akses rawatan segera kepada Navalny.

“Pesakit kami boleh mati pada bila-bila masa,” tegas Ashikhmin menerusi Facebook dan turut menyatakan tahap potassium dalam darah beliau sudah terlalu tinggi iaitu 7.1 dan perlu dipindahkan ke unit rawatan intensif secepat mungkin.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan aktivis antirasuah itu dan menyifatkan layanan buruk diterimanya adalah ‘sangat tidak adil’.

Pada akhir bulan lalu, pengkritik lantang Presiden Vladimir Putin itu nekad melancarkan mogok lapar untuk menuntut rawatan sewajarnya terhadap masalah sakit belakang dan kebas pada kaki serta tangan yang dialaminya yang semakin teruk.

Awal tahun lalu, beliau kembali ke Moscow apabila selesai menjalani rawatan di sebuah hospital di Berlin selepas terselamat cubaan bunuh akibat diracun dengan menggunakan agen saraf Novichok. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!